Merdeka Adalah Amanah Untuk Kita Pertahanan – Wan Rosdy
KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berpandangan bahawa kemerdekaan adalah sebuah amanah yang perlu dipertahankan.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO menerusi hantaran di laman Facebooknya berkata, sambutan kemerdekaan menjadi detik untuk rakyat berhimpun bagi menghayati makna sebenar perjuangan.

“Mengiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Haji Ahmad Shah, Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan berangkat mencemar duli ke Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2026 Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur di Padang MBK 4, Kemunting, Kuantan.
“Inilah detik yang kita nantikan saban tahun. Detik untuk kita berhimpun, menghayati erti kemerdekaan dan menyemarakkan kembali rasa cinta kepada tanah air.
“Di bawah satu Jalur Gemilang, kita berdiri teguh sebagai rakyat Malaysia yang terbilang,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa rakyat Malaysia tetap teguh dengan satu cita-cita untuk memakmurkan negara meskipun berbeza kaum dan agama.

“Berbeza kaum, agama dan latar belakang, tetapi tetap teguh dengan satu cita-cita, agar Malaysia terus aman, bersatu dan maju.
“Merdeka bukan sekadar laungan. Merdeka adalah amanah untuk kita pertahankan, perpaduan untuk kita kukuhkan dan negara untuk kita wariskan kepada generasi akan datang.
“Malaysia tanah tumpah darah kita. Selamat Hari Kebangsaan ke-69,” katanya lagi. – UMNO Online
