UMNO Tegaskan Prinsip Kedaulatan Undang-Undang Mesti Sentiasa Dihormati

KUALA LUMPUR, 29 Ogos – UMNO menegaskan bahawa prinsip kedaulatan undang-undang (Rule of Law) mesti sentiasa dihormati dan dijunjung, termasuk dalam sebarang tindakan penguatkuasaan serta proses siasatan terhadap mana-mana individu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, seseorang tidak boleh dianggap bersalah selagi belum didakwa, dibicarakan dan disabitkan kesalahannya oleh mahkamah yang mempunyai bidang kuasa.

“Seseorang tidak boleh dianggap bersalah selagi belum didakwa, dibicarakan dan disabitkan kesalahannya oleh mahkamah yang berbidang kuasa.”

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan oleh Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato’ Onn, malam tadi.

Menurut beliau, sebarang tindakan yang bertujuan memalukan atau mengaibkan seseorang, termasuk membentuk persepsi seolah-olah individu yang baru ditahan bagi tujuan siasatan telah pun melakukan kesalahan, adalah bertentangan dengan prinsip keadilan.

Katanya, perkara tersebut turut bercanggah dengan prinsip anggapan tidak bersalah (Presumption of Innocence) serta semangat kedaulatan undang-undang yang perlu dipelihara.

“Sebarang tindakan untuk memalukan atau mengaibkan seseorang, termasuk membentuk persepsi seolah-olah individu yang baru ditahan bagi tujuan siasatan telah pun bersalah, adalah bertentangan dengan prinsip keadilan, anggapan tidak bersalah serta semangat kedaulatan undang-undang.”

Dalam pada itu, Dr Asyraf Wajdi menegaskan bahawa UMNO tidak akan mempertahankan sebarang salah laku, penyelewengan atau penyimpangan yang dilakukan oleh mana-mana pihak, termasuk dalam kalangan ahli dan kepimpinan parti.

Sebaliknya, katanya, mana-mana individu yang terlibat wajib dihadapkan ke muka pengadilan dan diberikan ruang untuk melalui proses undang-undang yang sewajarnya.

“UMNO konsisten bahawa parti tidak akan pernah mempertahankan sebarang salah laku, penyelewengan dan penyimpangan yang dilakukan oleh mana-mana pihak termasuk ahli dan kepimpinan parti yang wajib dihadapkan ke muka pengadilan melalui proses undang-undang.”

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menjelaskan bahawa UMNO turut mengambil maklum pelbagai dapatan kajian empirikal yang dijalankan oleh agensi serta penyelidik dalam kalangan ahli akademik berhubung sentimen rakyat, khususnya orang Melayu.

Menurut Dr Asyraf Wajdi, dapatan tersebut menjurus kepada sentimen rakyat terutamanya orang Melayu yang mengharapkan penyatuan ummah dapat direalisasikan dan kepentingan keindukan Melayu menjadi teras kepada kestabilan politik negara.

Ujarnya, MKT UMNO turut bersetuju supaya kepimpinan UMNO di peringkat negeri mengadakan perbincangan dan rundingan dengan parti-parti politik yang bersedia untuk bekerjasama dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

“Bersetuju untuk kepimpinan UMNO Negeri melakukan perbincangan dan perundingan dengan parti-parti politik yang mahu bekerjasama dalam menghadapi Pilihanraya akan datang.

“Sebarang perundingan dengan mana-mana parti untuk menjalinkan kerjasama dalam pilihan raya akan datang mesti berteraskan keikhlasan dan kepercayaan, bukannya ugutan dan gertakan,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO