Juara Welding Antarabangsa… Bukti Anak-Anak TVET Berbakat, Berkemahiran
KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Kejayaan Muhammad Ammar Azli muncul sebagai juara dalam bidang welding Welding pada Final of Professional Skills Championship (Professionals) 2026 di Kaluga, Rusia menjadi bukti bahawa anak-anak TVET berbakat dan berkemahiran.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi hantaran di laman Facebooknya berkata, kejayaan tersebut sudah semestinya menjadi satu kebanggaan buat negara.

“Alhamdulillah, terasa lebih manis sambutan kemerdekaan tahun ini apabila saya menerima khabar kejayaan adik Muhammad Ammar Azli, pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Wakaf Tapai yang telah mengharumkan nama Malaysia apabila muncul juara dalam bidang Welding pada Final of Professional Skills Championship (Professionals) 2026 di Kaluga, Rusia.
“Tahniah adik Muhammad Ammar! Melihat Jalur Gemilang berkibar di pentas antarabangsa hasil kemahiran anak muda TVET negara tentunya menjadi satu kebanggaan buat kita semua.
“Kejayaan ini sekali lagi membuktikan bahawa anak-anak TVET Malaysia mempunyai bakat dan kemahiran untuk berdiri sama tinggi serta bersaing dengan yang terbaik di peringkat dunia,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Presiden UMNO berharap agar kejayaan tersebut akan menjadi pembakar semangat kepada anak-anak TVET yang lain.

“Syabas juga saya ucapkan kepada tenaga pengajar serta seluruh warga IKBN Wakaf Tapai dan Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) yang telah membimbing dan mempersiapkan beliau sehingga mencapai kejayaan ini.
“Selepas Rusia, adik Muhammad Ammar bakal membawa cabaran negara ke WorldSkills Shanghai 2026 pada September nanti. Teruskanlah melangkah dengan penuh keyakinan dan berikan yang terbaik untuk Malaysia.
“Semoga kejayaan ini menjadi pembakar semangat kepada lebih ramai anak muda untuk melihat TVET sebagai laluan membina kemahiran, kerjaya dan masa depan. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online
