UMNO Diasak, Masa Untuk Bangkit Berjuang – Hasnal Rezua
KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Hasnal Rezua Merican berpandangan penahanan reman dan pendakwaan beberapa pemimpin UMNO hari ini memberi gambaran bahawa rundingan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mungkin tidak akan dimuktamadkan.
Menurut beliau, perkembangan berkenaan berlaku ketika kedua-dua pihak, PH dan Pas, sebelum ini memberikan gambaran bahawa rundingan kerjasama dengan BN bagi menghadapi PRN Melaka sudah memasuki peringkat pembahagian kerusi.

Hasnal Rezua berkata, dalam keadaan UMNO kini berdepan tekanan yang semakin hebat, parti itu hanya mempunyai satu pilihan iaitu bangkit dan meneruskan perjuangan.
“UMNO yang diasak rapat ke dinding hanya punya satu pilihan iaitu bangkit berjuang. Kita ‘birukan’ bumi Melaka!” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa UMNO tidak akan mudah mengalah dalam menghadapi perkembangan politik semasa, sambil menggunakan ungkapan perjuangan parti sebagai pendirian menghadapi PRN Melaka.
“Dari Tegap Bertimpuh, Baik Rebah Merempuh. Tiada istilah menyerah atau mengalah. Membujur lalu, melintang patah,” katanya lagi.
Hari ini, bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob didakwa di mahkamah atas pertuduhan gagal mengisytiharkan harta. – UMNO Online
