RM47.13 Juta Tambahan BKJ Fasa 4, 235,000 Bangsa Johor Terima Manfaat
JOHOR BAHRU, 28 Ogos – Kerajaan Negeri Johor meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM47.13 juta bagi rayuan Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa 4 yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 235,000 Bangsa Johor.
Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, bantuan berkenaan, insya-Allah, akan mula disalurkan kepada penerima yang layak bermula minggu ketiga September.
Menurut beliau, peruntukan tambahan itu melibatkan 21 kategori penerima daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“Antaranya warga emas, suri rumah tidak bekerja, pasangan baharu berkahwin, penjaja dan peniaga kecil, golongan OKU, anak yatim, keluarga miskin, penggerak komuniti, petugas serta sukarelawan,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan rayuan tersebut dibuat selepas kerajaan negeri mengambil kira pelbagai rayuan dan maklum balas yang diterima daripada Bangsa Johor sepanjang pelaksanaan BKJ Fasa 4.
Katanya, setiap rayuan telah diteliti dan disemak sewajarnya bagi memberi peluang kepada mereka yang memenuhi syarat untuk turut menerima manfaat bantuan berkenaan.
“Langkah ini juga bagi memastikan mereka yang benar-benar layak tidak tercicir daripada menerima manfaat yang disediakan kerajaan negeri,” katanya.
Onn Hafiz berkata, kemampuan kewangan negeri yang semakin baik turut memberi ruang kepada kerajaan negeri untuk mengembalikan lebih banyak manfaat kepada rakyat.
Beliau pada masa sama mengakui masih banyak perkara yang perlu dilakukan bagi memastikan kesejahteraan dan kebajikan rakyat terus diberi perhatian.
“Saya juga sedar dan insaf bahawa masih banyak yang perlu kita lakukan, dan bukan semua perkara dapat diselesaikan dalam satu masa.
“Namun, kita akan terus berusaha menambah baik setiap inisiatif dan memperluas manfaat agar lebih ramai Bangsa Johor dapat merasai hasil kemajuan dan kemakmuran negeri ini,” katanya.
Beliau berharap bantuan tambahan berkenaan dapat sedikit sebanyak meringankan beban para penerima, khususnya mereka yang memerlukan.
Dalam pada itu, Onn Hafiz menyeru seluruh Bangsa Johor agar bersama-sama mendoakan supaya hasil negeri dan ekonomi Johor terus diperkukuh.
“Semoga lebih banyak manfaat dapat dikembalikan kepada Bangsa Johor pada masa akan datang. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online
