Perkhidmatan PBT Diperkasa, Keselesaan Rakyat Jadi Keutamaan
JOHOR BAHRU, 28 Ogos – Kerajaan Negeri Johor terus memperkukuh mutu perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan, termasuk dalam aspek pengurusan serta penyelenggaraan pokok di kawasan bandar.
Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, pengurusan pokok perlu dilaksanakan secara lebih proaktif dan sistematik, bukan sekadar menunggu aduan atau bertindak selepas berlaku kejadian yang boleh mengancam keselamatan orang awam.

“Kita mahu perkhidmatan kepada rakyat lebih cekap dan responsif. Pengurusan pokok tidak boleh hanya bergantung kepada aduan atau tindakan selepas berlakunya kejadian, sebaliknya kita perlu bergerak kepada pendekatan penyelenggaraan berasaskan risiko.”
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat berkaitan pengurusan dan penyelenggaraan pokok di kawasan PBT Greater Johor Bahru yang melibatkan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang dan Majlis Perbandaran Kulai.
Menurut beliau, setiap PBT perlu mempunyai inventori pokok yang lebih lengkap meliputi lokasi, keadaan fizikal, tahap kesihatan dan rekod penyelenggaraan supaya tindakan dapat dibuat lebih awal terhadap pokok yang berisiko.
“Keutamaan kita adalah keselamatan rakyat. Setiap kerja cantasan dan penyelenggaraan mesti dilaksanakan mengikut piawaian yang betul dengan mengambil kira struktur pokok, kepadatan kanopi, rintangan angin serta keselamatan kawasan sekeliling,” katanya.
Mohd Jafni turut menegaskan supaya SOP perkhidmatan di lapangan diseragamkan, bermula daripada penerimaan aduan, pemeriksaan dan penilaian risiko sehingga pelaksanaan kerja serta pengesahan kerja siap.
Langkah itu, katanya, penting bagi memastikan aduan rakyat dapat ditangani dengan lebih pantas, khususnya kes kecemasan yang melibatkan risiko terhadap nyawa dan harta benda.
Dalam pada itu, pada sebelah pagi beliau turut turun padang menerusi program Jom Santai Sarapan ‘Walkabout’ bersama warga Felda Taib Andak bagi mendengar secara langsung pandangan dan maklum balas masyarakat setempat.

Menurut beliau, interaksi secara bersemuka dengan rakyat penting bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan sentiasa berpandukan keperluan sebenar masyarakat.
“Turun padang membolehkan kita mendengar sendiri suara rakyat. Maklum balas mereka menjadi panduan untuk kita memperbaiki perkhidmatan dan memastikan setiap usaha Kerajaan Negeri benar-benar memberi manfaat.”
Beliau berkata, pendekatan mendekati rakyat serta memperkemas sistem penyampaian perkhidmatan perlu dilaksanakan secara berterusan selaras dengan penekanan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi supaya perkhidmatan kerajaan sentiasa cekap, responsif dan memberi manfaat kepada rakyat. – UMNO Online
