Malaysia–Denmark Perkukuh Kerjasama Ekonomi
KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Malaysia dan Denmark komited untuk memperkukuhkan kerjasama ekonomi dalam teknologi, tenaga hijau dan sekuriti makanan, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau memaklumkan telah menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Denmark ke Malaysia, PYT Kirstine Vangkilde Berner pada Khamis.

“Pada Khamis, saya menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Denmark ke Malaysia, PYT Kirstine Vangkilde Berner.
“Pertemuan ini mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dan Denmark untuk memperkukuh hubungan ekonomi dua hala,” katanya.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, pertemuan tersebut turut membincangkan mengenai usaha untuk memperkukuh ekosistem industri pelbagai bidang.
“Kami turut bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh ekosistem industri pusat data, tenaga boleh baharu dan tenaga nuklear.
“Denmark menyatakan komitmen untuk mempererat kerjasama strategik dalam bidang teknologi, sekuriti makanan dan peralihan hijau, selaras dengan aspirasi Malaysia untuk mencapai sasaran pelepasan sifar bersih,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa Malaysia dan Denmark menyambut baik kemajuan rundingan semula Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia–Kesatuan Eropah (EU).

“Kami turut menyambut baik kemajuan rundingan semula Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia–EU.
“Denmark merupakan rakan dagang ke-13 terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota EU, dengan jumlah perdagangan dua hala bernilai RM2.20 bilion pada tahun 2025.
“Ini mencerminkan momentum positif dalam hubungan ekonomi Malaysia-Denmark dan membuka ruang yang lebih luas untuk kerjasama pada masa hadapan,” katanya lagi. – UMNO Online
