Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Terus Dekati Keperluan Masyarakat

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh meneruskan siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat bagi meninjau secara langsung keperluan rakyat serta menyampaikan bantuan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri berkata Serkam merupakan destinasi ke-16 siri jelajah berkenaan yang kini telah melepasi separuh perjalanan merentas 28 DUN di seluruh negeri.

“Seperti dijanjikan, saya bersama Datuk Zaidi Attan, ADUN Serkam dan pimpinan Kerajaan Negeri Melaka meneruskan siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat.

“Diam tak diam juga, Serkam menjadi destinasi ke-16 dalam siri jelajah ini, sekali gus menandakan kita kini telah melepasi separuh perjalanan merentas 28 DUN di seluruh Melaka,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Dalam pada itu, Ab Rauf turut meninjau keperluan baik pulih kantin Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Mahkota selain menyampaikan sumbangan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jasin.

Kata beliau lagi, sumbangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) turut disampaikan kepada beberapa sekolah.

“Seterusnya, saya bersama warga pendidik di SMK Seri Mahkota. Saya turut turun melihat sendiri keperluan baik pulih kantin sekolah, selain menyampaikan sumbangan kepada PPD Jasin untuk 10 sekolah rendah dan 2 sekolah menengah dalam DUN Serkam.

“Turut disampaikan sumbangan SPM daripada TAPEM kepada SMK Seri Mahkota dan SMKA Assaiyidah Khadijah.

“Inilah hasil yang saya mahu lahirkan daripada setiap jelajah… daripada rumah yang uzur, kita usahakan yang lebih selamat… daripada keperluan yang kita lihat, kita cari jalan penyelesaian… dan daripada setiap persinggahan, biarlah ada perubahan yang boleh dirasai rakyat,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO