Pemuda UMNO 77 Tahun: Teguh Teruskan Perjuangan – Saifullah Ali

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Lebih tujuh dekad Pergerakan Pemuda UMNO bukan sekadar angka, tetapi perjalanan panjang yang dibina dengan keberanian, kesetiaan dan semangat juang anak muda, kata Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Muhammad Saifullah Ali.

Menurutnya, usia 77 tahun membuktikan bahawa Pemuda UMNO telah melalui pelbagai fasa perjuangan, berdepan perubahan zaman, cabaran politik serta tuntutan rakyat yang semakin kompleks.

“Pemuda UMNO tidak boleh hanya mengenang kegemilangan semalam. Kita mesti bangkit, bermuhasabah dan kembali mendekati denyut nadi rakyat dengan suara yang berani, tindakan yang nyata dan perjuangan yang relevan dengan zaman.

“Sepanjang 77 tahun ini, sudah pasti Pemuda UMNO berdepan pelbagai cabaran, tetapi kita tidak pernah ketandusan semangat untuk terus melangkah dan mempertahankan perjuangan.

“Cabaran yang datang bukan alasan untuk kita mengalah, sebaliknya menjadi medan untuk membuktikan bahawa Pemuda UMNO masih mempunyai kekuatan, keberanian dan kemampuan untuk membawa suara generasi baharu,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Puteh berharap perjuangan yang diwarisi daripada generasi terdahulu terus diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang memberi manfaat kepada rakyat, khususnya golongan muda.

“Jangan biarkan 77 tahun ini sekadar menjadi catatan sejarah. Jadikan ia titik tolak untuk kita memperbaharui tekad, memperkukuh perpaduan dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap perjuangan Pemuda UMNO.

“Obor perjuangan yang diwariskan kepada kita mesti terus menyala. Tanggungjawab kita bukan sekadar mempertahankannya, tetapi memastikan ia dapat diserahkan kepada generasi seterusnya dalam keadaan lebih kukuh,” katanya lagi.

Justeru kata Saifullah, masa depan Pemuda UMNO bergantung kepada keberanian barisan anak muda hari ini untuk turun ke akar umbi, mendengar suara rakyat dan berani melakukan perubahan.

“Perjuangan belum selesai. Pemuda mesti terus mara, terus berkhidmat dan terus menjadi suara yang membela rakyat.

“Bangkit kembali dengan cara kita. Bukan menunggu perubahan, tetapi menjadi pencetus perubahan. Bukan sekadar bercakap tentang masa depan, tetapi berani membinanya. Selamat Ulang Tahun ke-77 Pemuda UMNO,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO