Pendedahan Awal Industri Penting Bentuk Generasi Masa Hadapan

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah berkata pendedahan awal kepada dunia industri penting dalam membentuk generasi muda yang lebih bersedia menghadapi alam pekerjaan pada masa hadapan.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Ekonomi berkata, perkara itu antara matlamat utama pelaksanaan Program Industrial Mind 2026 yang direka khas untuk pelajar Tingkatan Empat dan Tingkatan Enam di Parlimen Paya Besar.

“Program Industrial Mind 2026 yang direka khas untuk pelajar Tingkatan Empat dan Tingkatan Enam ini melibatkan 12 sekolah di Parlimen saya, hampir 1,700 pelajar dan 50 industri sebagai destinasi lawatan, dengan konsep mudah dan bermakna satu kelas, satu bas. Selain lawatan industri sebagai pengisian praktikal, pameran kerjaya turut dirancang bagi menghubungkan bakat muda dengan peluang sebenar dalam industri.

“Mendedahkan pelajar kepada dunia industri seawal peringkat sekolah bukan sekadar program, ia adalah pelaburan jangka panjang dalam membentuk generasi yang tahu ke mana mereka mahu pergi selepas alam persekolahan.

“Ini bukan usaha yang dilakukan secara bersendirian. Ia adalah hasil kerjasama strategik antara kerajaan, industri dan rakan kongsi yang berkongsi satu matlamat: melahirkan generasi muda yang bersedia, berkeyakinan dan berdaya saing dalam dunia pekerjaan masa hadapan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Sementara itu menerusi perkongsian berbeza beliau turut sama meninjau perkembangan Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kenau, Sungai Lembing.

Katanya, tinjauan itu bagi memastikan pelaksanaan projek yang penting kepada keselamatan penduduk setempat tersebut berjalan lancar serta mengikut jadual yang ditetapkan.

“Alhamdulillah, setakat 25 Ogos 2026, projek ini menunjukkan perkembangan yang sangat baik. Kemajuan fizikal sebenar kini mencapai 35.45 peratus, berbanding 35.37 peratus mengikut jadual, dengan variance +0.08 peratus dan projek berada satu hari lebih awal daripada jadual.

“Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada 28 Februari 2028. Insya-Allah, dengan pemantauan dan kerjasama semua pihak, projek ini dapat dilaksanakan dengan lancar mengikut jadual yang ditetapkan.

“Projek tebatan banjir ini amat penting dalam usaha mengurangkan risiko banjir, khususnya kepada penduduk di sekitar Sungai Kenau dan Pekan Sungai Lembing. Yang paling penting, kita mahu masyarakat dapat menjalani kehidupan dengan lebih selamat, tenang dan selesa.

“Insya-Allah, perkembangan projek akan terus dipantau dari semasa ke semasa demi memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO