Md Israk Tekad Kekal Turun Padang, Pastikan Suara Rakyat Didengar
TANJUNG PIAI, 26 Ogos – Pendekatan turun padang secara berterusan penting bagi memastikan setiap pandangan, keperluan dan harapan rakyat dapat didengar secara langsung, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Md Israk Abdullah.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor berkata, hubungan secara dekat dengan masyarakat membolehkan beliau memahami isu yang dihadapi penduduk dengan lebih jelas.

Menurutnya, pendekatan tersebut diteruskan menerusi kunjungan ke Pasar Selasa bagi bertemu peniaga dan pengunjung serta mendengar sendiri pelbagai perkara yang ingin disampaikan masyarakat.
“Apabila kita turun sendiri, kita dapat melihat keadaan sebenar, bertanya khabar dan mendengar cerita masyarakat secara dekat.
“Di sinilah saya dapat memahami apa yang mereka fikirkan, perlukan dan harapkan,” katanya.
Dalam kunjungan itu, beliau turut menerima ucapan tahniah daripada masyarakat susulan kemenangan pada PRN Johor baru-baru ini, selain mendengar perkongsian berkaitan permohonan bantuan dan pelbagai keperluan penduduk.
Md Israk berkata, menjadi wakil rakyat bukan sekadar hadir dalam program rasmi, sebaliknya perlu sentiasa berada bersama masyarakat untuk memahami denyut nadi mereka.
Beliau turut menghargai keterbukaan peniaga dan pengunjung yang sudi menyambut kehadirannya, menegur serta berkongsi cerita.
“Doakan saya terus istiqamah turun padang, terus dekat dengan rakyat dan diberikan kekuatan untuk menjalankan amanah ini sebaik-baiknya,” katanya.- UMNO Online
