Jelajah Prihatin Wanita UMNO Segamat Dekati Golongan Memerlukan

SEGAMAT, 26 Ogos – Wanita UMNO Bahagian Segamat meneruskan inisiatif Jelajah Prihatin dengan menziarahi 10 buah rumah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Buloh Kasap, baru-baru ini.

Program berkenaan diketuai Naib Ketua Wanita UMNO Johor yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Segamat, Datuk Norshida Ibrahim, sebagai usaha mendekati masyarakat serta menyantuni mereka yang memerlukan perhatian.

Sepanjang kunjungan, beliau bersama rombongan bertanya khabar dan meluangkan masa menyantuni golongan yang kurang sihat, selain menyampaikan sedikit tanda ingatan kepada keluarga yang diziarahi.

Menurut Norshida, kehadiran Wanita UMNO bukan sekadar untuk menyampaikan bantuan, tetapi sebagai tanda bahawa masyarakat sentiasa diberi perhatian dan tidak pernah dilupakan.

“Semoga setiap yang sedang diuji diberikan kesembuhan, kekuatan dan dipermudahkan segala urusan.

“Kerana hadir itu bukan sekadar membawa bantuan, tetapi membawa rasa bahawa mereka sentiasa diingati dan tidak pernah bersendirian,” katanya.

Jelajah Prihatin itu mencerminkan komitmen Wanita UMNO Bahagian Segamat untuk terus mendekati masyarakat di akar umbi, khususnya golongan yang berdepan cabaran kesihatan dan kehidupan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO