Forum Tabung Haji Wajar Diperluas, Penjelasan Berfakta – Rozi Mamat

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Rozi Mamat berpandangan forum Realiti dan Persepsi: Jangan Mempolitikkan Tabung Haji yang diadakan semalam adalah sebagai satu platform amat baik dalam memberi pencerahan kepada masyarakat berhubung isu membabitkan institusi Tabung Haji.

Menurutnya, forum seumpama itu perlu diperluaskan ke seluruh negara supaya masyarakat mendapat gambaran yang jelas, berasaskan fakta dan penjelasan ilmiah, bukannya terpengaruh dengan persepsi atau dakwaan yang boleh menimbulkan keresahan.

“Kita tidak mahu ada perkara-perkara yang boleh merosakkan institusi yang sangat besar kepada orang Islam dan juga orang Melayu dalam negara ini. Ia satu forum yang sangat baik, dan ianya perlu diperluaskan di kalangan masyarakat supaya isu ini dilihat secara positif.

“Penjelasan yang telah diberi oleh tokoh-tokoh yang sangat berwibawa yang secara ilmiah. Ilmiah, bukan saja bukan maksudnya pro ke mana-mana pihak, tapi memberi penjelasan yang baik berkaitan dengan apa yang dibangkitkan oleh masyarakat dan juga setengah-setengah pihak berkaitan untuk memburuk-burukkan Tabung Haji.

“Perkara sebegini tidak wajar berlaku kerana ia boleh melemahkan dan juga boleh meragu-ragukan kepada pendeposit Tabung Haji itu sendiri. Ianya boleh menyebabkan serta meruntuhkan institusi Tabung Haji itu sendiri,” katanya kepada UMNO Online.

Sehubungan itu, Rozi menyeru semua pihak supaya tidak terus memperbesarkan polemik yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, sebaliknya memberi ruang kepada pihak pengurusan untuk melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya.

“Saya rasa cukuplah kita bercakap tentang berkaitan dengan ‘sakau’ dan sebagainya kerana ia telah berjalan dengan baik. Kita boleh nampak dengan penjelasan yang telah diberikan.

“Yang penting jangan dipolitikkan. Ianya sebagai satu institusi untuk membela dan membantu orang Islam dan juga orang Melayu dalam negara. Kita mahu ia terus kukuh, diurus dengan baik dan memberi manfaat kepada pendeposit,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Rozi yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu menjelaskan, peningkatan kos menunaikan haji daripada sekitar RM9,900 kepada RM15,000 hingga RM33,000 hari ini menunjukkan pentingnya Tabung Haji mempunyai asas kewangan dan pelaburan yang kukuh.

“Orang kampung mudah faham. Dulu kos haji sekitar RM9,900, sekarang RM15,000 hingga RM33,000. Setiap tahun kos meningkat dan kita perlu ada sumber kewangan untuk menampungnya.

“Dalam perniagaan, kita ada tunai, pelaburan dan aset. Tetapi kalau aset dijual semuanya, bagaimana kita mahu menampung keperluan pendeposit dan kos haji pada masa akan datang,” jelasnya.

Seterusnya kata Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) menggesa prestasi dan kedudukan Tabung Haji bagi tempoh terdahulu serta selepas 2017 diteliti secara jelas berdasarkan rekod dan fakta.

“Jadi saya perkara ini dapat dilihat dengan jelas, termasuk kedudukan dan prestasi Tabung Haji dari tahun-tahun sebelumnya hingga sekarang,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO