77 Tahun: Pemuda UMNO Terus Jadi Benteng Perjuangan Bangsa
KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Pergerakan Pemuda UMNO terus menjadi benteng kepada perjuangan bangsa dan melahirkan insan yang sanggup berdiri ketika tanah air serta parti memerlukan.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohamad Aliff Hilmi berkata, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia bukan sekadar sayap dalam parti dan memikul amanah perjuangan yang besar.

“77 tahun yang lalu, sebuah barisan anak muda memilih untuk berdiri, berjuang dan percaya bahawa tanah air ini mesti mempunyai masa depan yang ditentukan oleh bangsanya sendiri. Hari ini, 77 tahun kemudian, obor itu berada di tangan kita.
“Bagi saya, Pemuda UMNO bukan sekadar sebuah sayap dalam parti. Di sinilah kita dibentuk. Di sinilah kita belajar bahawa perjuangan bukan semuanya tentang kemenangan, jawatan ataupun tepukan.
“Kadangkala perjuangan menuntut kita berdiri ketika orang lain memilih untuk berundur. Bersuara ketika berdiam diri jauh lebih mudah. Bertahan ketika kesetiaan diuji dan terus berjalan walaupun ia tidak menjanjikan apa-apa kepada kita.
“Kerana itulah harga sebuah perjuangan. Saya cintakan Pemuda ini bukan kerana ia sempurna. Saya cintakan Pemuda ini kerana di dalamnya ada sejarah, ada persahabatan, ada pengorbanan, ada air mata, ada jatuh dan bangun, ada mereka yang datang dan pergi, serta ada mereka yang tetap memilih untuk setia ketika parti melalui hari-hari paling sukar,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Ujarnya, Pemuda UMNO perlu menjadi generasi yang berani mempertahankan prinsip dan matang dalam menerima perbezaan.
“Kita mungkin berbeza pandangan. Kita mungkin berbeza cara. Tetapi jangan sesekali lupa bahawa kita datang daripada satu Rumah Bangsa yang sama. UMNO.
“Sebuah parti yang lahir daripada keresahan bangsa, membesar bersama perjuangan menuntut kemerdekaan dan menjadi sebahagian daripada perjalanan membina negara kita cintai ini.
“Malaysia bukan diwariskan kepada kita untuk sekadar dinikmati. Malaysia dipinjamkan kepada generasi kita untuk dijaga, dipertahankan dan suatu hari nanti diserahkan kepada anak cucu dalam keadaan lebih baik. Maka sebab itu perjuangan Pemuda mesti lebih besar daripada kepentingan diri sendiri.
“Kita mesti menjadi generasi yang berani mempertahankan prinsip tetapi cukup matang untuk menerima perbezaan. Keras apabila maruah perjuangan dicabar tetapi merendah diri ketika bersama rakyat. Setia kepada parti tetapi tidak pernah lupa bahawa kesetiaan paling besar kita adalah kepada agama, bangsa dan tanah air,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa tiada perjuangan yang terlalu kecil apabila dilakukan dengan ikhlas.
“Kepada seluruh sahabat Pemuda UMNO di seluruh negara, daripada pimpinan tertinggi sehinggalah kepada seorang ahli Pemuda biasa di cawangan paling jauh, ketahuilah bahawa setiap seorang daripada kita mempunyai tempat dalam perjalanan 77 tahun ini.
“Tiada perjuangan yang terlalu kecil apabila dilakukan dengan ikhlas. Tiada pengorbanan sia-sia apabila dilakukan kerana sesuatu yang lebih besar daripada diri kita sendiri. Tiada malam terlalu panjang untuk sebuah perjuangan untuk manusia yang percaya kepada hari esok.
“Kepada generasi terdahulu, terima kasih kerana menyerahkan obor ini kepada kami. Kepada generasi saya, jangan biarkan obor ini terpadam di tangan kita. Suatu hari nanti, masa kita juga akan berakhir. Kita akan meninggalkan jawatan, pentas dan segala yang kita miliki hari ini. Nama kita mungkin dilupakan.
“Tetapi sebelum hari itu tiba, pastikan kita meninggalkan sebuah Pemuda UMNO yang lebih kuat daripada kita warisi supaya apabila anak-anak muda selepas kita mengambil tempat ini, mereka tahu bahawa pernah ada satu generasi yang memilih untuk tidak menyerah,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut mengucapkan selamat menyambut ulang tahun Pergerakan Pemuda UMNO yang ke-77 dan berharap agar segala perjuangan dapat diteruskan dengan sebaiknya.
“Generasi yang tetap berdiri ketika diuji. Generasi yang tetap setia ketika susah. Generasi yang percaya bahawa UMNO masih mempunyai masa depan selagi Pemudanya mempunyai keberanian untuk memperjuangkannya. 77 tahun telah berlalu.
“Kita tidak tahu berapa panjang perjalanan yang masih menanti tetapi selagi dada ini masih bernafas, selagi merah putih ini masih berkibar dan selagi tanah bernama Malaysia ini masih kita pijak, perjuangan ini mesti diteruskan. Dengan ilmu. Dengan keberanian. Dengan kesetiaan. Dengan cinta.
“Selamat ulang tahun ke-77, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Teruslah menjadi rumah bagi keberanian anak muda. Teruslah menjadi benteng kepada perjuangan bangsa dan teruslah melahirkan mereka yang sanggup berdiri ketika tanah air serta parti memerlukan kita. Dulu, kini dan selamanya,” katanya lagi. – UMNO Online
