77 Tahun Pemuda UMNO Membina Perjuangan, Menyambung Amanah – Azman Azeez

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Pemuda UMNO mesti bangkit sebagai barisan hadapan parti yang berani bersuara, tegas mempertahankan prinsip serta benar-benar turun ke akar umbi bagi memahami denyut nadi rakyat.

Exco Pemuda UMNO Malaysia Mohamed Khairul Azman Abdul Azeez berkata, kepimpinan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh, telah memberikan nafas baharu kepada gerakan Pemuda dengan pendekatan yang lebih berani, lantang dan dekat dengan realiti kehidupan rakyat.

“77 tahun bukan noktah dan ia adalah amanah yang perlu kita sambung, di bawah kepimpinan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh, Pemuda UMNO hari ini tampil dengan suara yang lebih berani, tegas dan dekat dengan denyut nadi rakyat. Kita tidak mahu Pemuda sekadar menjadi pelengkap organisasi, sebaliknya menjadi barisan hadapan yang berani membawa suara generasi muda dan memperjuangkan kepentingan rakyat.

“Pemuda mesti berani bersuara apabila rakyat memerlukan pembelaan, berani mempertahankan prinsip apabila diuji dan paling penting, berani turun ke akar umbi untuk memahami realiti kehidupan rakyat.

“Saya percaya Pemuda UMNO mempunyai peranan besar dalam menentukan masa depan parti. Kita perlu membina generasi pelapis yang bukan sahaja setia kepada parti, tetapi mempunyai ilmu, kompetensi, integriti dan keberanian untuk memimpin,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut Azman yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Baling menjelaskan politik bukan sekadar pentas untuk mendapatkan sokongan ketika pilihan raya, sebaliknya merupakan satu amanah untuk sentiasa berada bersama rakyat dan memahami denyut nadi mereka.

“Di Baling, kami memilih untuk meneruskan perjuangan dengan pendekatan yang sama iaitu turun padang, mendengar, membantu dan bekerja. Politik bagi kami bukan sekadar pentas atau musim pilihan raya, tetapi amanah untuk sentiasa berada bersama rakyat.

“Selagi ada anak muda yang mahu berjuang, selagi ada rakyat yang memerlukan pembelaan, dan selagi prinsip perjuangan UMNO masih menjadi pegangan, Pemuda UMNO akan terus berdiri di barisan hadapan,” katanya lagi.

Tambah Azman, generasi muda hari ini mempunyai tanggungjawab besar untuk meneruskan legasi perjuangan yang telah dibina oleh generasi terdahulu, namun dalam masa sama perlu berani membawa pendekatan baharu yang bersesuaian dengan cabaran semasa.

“Kita mungkin mewarisi sejarah perjuangan daripada generasi terdahulu, tetapi masa depan perjuangan itu berada di tangan kita. Selamat Ulang Tahun Ke-77 Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. No Fear. No Surrender.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh barisan kepimpinan, mantan pimpinan serta seluruh warga Pemuda UMNO yang kekal mempertahankan perjuangan parti ini.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh barisan kepimpinan, mantan pimpinan serta seluruh warga Pemuda UMNO yang terus mempertahankan perjuangan parti keramat ini,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO