Wanita UMNO Sambut Ulang Tahun Ke-77, Terus Perkukuh Perjuangan

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, mengucapkan tahniah dan selamat menyambut ulang tahun ke-77 kepada seluruh ahli Wanita UMNO Malaysia di seluruh negara.

Beliau berkata, 77 tahun bukan sekadar angka, sebaliknya mencerminkan perjalanan panjang yang sarat dengan sejarah, pengorbanan dan perjuangan Wanita UMNO dalam memperkukuh peranan wanita serta membela kepentingan masyarakat dan negara.

“Selamat Ulang Tahun Ke-77 buat seluruh ahli Wanita UMNO seluruh negara yang terus berdiri teguh, melangkah tanpa lelah dan berjuang dengan penuh jiwa demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya.

Menurut beliau, sejak penubuhannya sehingga kini, Wanita UMNO terus memainkan peranan penting sebagai nadi parti, khususnya dalam memperkasa wanita, membangunkan anak bangsa serta memastikan masa depan generasi akan datang terus terbela.

Katanya, meskipun bentuk perjuangan berubah mengikut peredaran zaman, semangat dan komitmen Wanita UMNO untuk terus berbakti kepada masyarakat tidak pernah luntur.

“Perjuangan kita mungkin berubah mengikut zaman, tetapi semangatnya tidak pernah luntur. Kita terus melangkah, terus berbakti dan terus menjadi suara yang membawa harapan kepada masyarakat.”

Noraini turut menzahirkan harapan agar Wanita UMNO Malaysia terus berdiri gagah, bersatu dan istiqamah dalam perjuangan demi masa depan anak bangsa serta negara tercinta.

“77 tahun perjuangan. 77 tahun keteguhan. 77 tahun membina masa depan,” katanya.

Beliau juga berharap semangat kebersamaan dan keteguhan yang menjadi kekuatan Wanita UMNO selama 77 tahun akan terus dipertahankan bagi menghadapi cabaran mendatang. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO