Jangan Politikkan Tabung Haji, Tetapi Jangan Tutup Ruang Persoalan
KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Tabung Haji perlu terus diperkukuh sebagai institusi amanah umat Islam dengan memastikan pengurusan profesional, tadbir urus baik, keputusan pelaburan berhemah serta ketelusan yang mampu mengekalkan keyakinan jutaan pendeposit.
Pengerusi Teras Musyawarah Nasional, Datuk Prof Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, Musyawarah Nasional menjadi wadah penting untuk masyarakat berbincang, berbeza pandangan dan mencari penyelesaian secara matang tanpa menjadikan perbezaan sebagai punca perpecahan.
Menurut beliau, forum berkenaan bukan sekadar bertujuan mencari jawapan terhadap persoalan berkaitan Tabung Haji, tetapi lebih penting untuk membina kefahaman matang mengenai bagaimana amanah dan kepercayaan terhadap institusi itu dapat dipelihara bersama.
“Kita mahu Tabung Haji terus kukuh. Kita mahu pengurusan yang profesional. Kita mahu tadbir urus yang baik. Kita mahu keputusan pelaburan yang berhemah. Kita mahu ketulusan yang mampu mengekalkan keyakinan berdeposit dan mahu sebuah institusi yang terus relevan kepada generasi yang akan datang.
“Jangan mempolitikkan Tabung Haji tidak bermaksud kita tidak boleh mempersoalkan Tabung Haji. Malah, persoalan yang wajar perlu terus dibangkitkan, semak, dan imbang perlu dilaksanakan. Teguran yang membina perlu diberikan, dan penambahbaikan perlu sentiasa dicari.
“Kita berhak bertanya bagaimana dana berdeposit diuruskan, bagaimana keputusan pelaburan dibuat, bagaimana risiko dikawal, bagaimana tadbir urus diperkukuhkan, dan bagaimana kepentingan berdeposit terus dilindungi. Tetapi pada masa yang sama, persoalan perlu dijawab dengan fakta, kritikan perlu dibuat dengan tanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian pada forum Realiti dan Persepsi: Jangan Mempolitikkan Tabung Haji di Primera Hotel, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta peserta-peserta forum.
Beliau berkata, masyarakat berhak mengetahui bagaimana dana pendeposit diuruskan, bagaimana keputusan pelaburan dibuat, bagaimana risiko dikawal serta langkah yang diambil bagi memperkukuhkan tadbir urus dan melindungi kepentingan pendeposit.
“Setiap persoalan perlu dijawab berlandaskan fakta, manakala kritikan hendaklah dibuat dengan penuh tanggungjawab dan tidak dijadikan modal untuk kepentingan politik.
“Jangan sampai Tabung Haji menjadi medan pertaruhan politik sehingga kita lupa bahawa di sebalik segala perdebatan itu terdapat jutaan berdeposit yang hanya mahu satu perkara: wang mereka dijaga, amanah mereka dipelihara, dan institusi yang mereka percayai terus kukuh,” ujarnya. – UMNO Online
