Konvoi Merdeka UMNO Batu Pahat Dekati Masyarakat, Semarakkan Jalur Gemilang
KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Konvoi Merdeka UMNO Bahagian Batu Pahat bukan sekadar program jelajah bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan Malaysia ke-69, malah turut mendekati masyarakat setempat.
Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Zaidi Japar berkata program berkenaan mengeratkan lagi hubungan antara penduduk sekitar dengan kepimpinan setempat.
“Program ini mencerminkan usaha UMNO Batu Pahat memperkukuh hubungan dengan masyarakat, di samping menggalakkan pengibaran Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kemerdekaan,” katanya.
Katanya lagi, program tersebut bermula di Simpang Rantai sebelum singgah di Surau Taman Bukit Pasir untuk menunaikan solat Zuhur.
“Rombongan kemudian meneruskan perjalanan ke Sungai Suloh, Taman Seri Senggarang dan Pantai Punggur sebelum berakhir di Dataran Rengit,” tambahnya.
Zaidi, yang juga Timbalan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor serta ADUN Rengit, turut menyertai konvoi bersama pimpinan setempat yang lain.
“Pada setiap persinggahan, pimpinan UMNO dan anggota konvoi beramah mesra dengan masyarakat setempat, selain mendengar pandangan komuniti,” tambahnya.
Pada program tersebut, Zaidi turut menyampaikan sumbangan bendera Jalur Gemilang kepada ketua-ketua UMNO cawangan untuk dikibarkan di kawasan masing-masing sebagai usaha menyemarakkan semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara.
Konvoi itu mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Batu Pahat yang mengiringi rombongan serta memastikan keselamatan dan kelancaran perjalanan. – UMNO Online
