BN Perlu Jadi Gabungan Politik Yang Kuat, Diyakini Rakyat – Saarani
KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata BN bergantung kepada kekuatan setiap parti komponennya sebagai satu pasukan dalam menghadapi cabaran politik semasa.
Beliau yang juga Menteri Besar Perak berkata dengan itu usaha memperkukuh UMNO, MCA dan MIC perlu terus diberi perhatian bagi memastikan BN kembali menjadi gabungan politik yang kuat dan diyakini rakyat.

“Sudah tentu kita mahu melihat UMNO, MCA dan MIC kembali kuat.
“Kerana kekuatan BN juga bergantung kepada kekuatan setiap parti komponennya dan keupayaan kita bekerja sebagai satu pasukan,” katanya.
Saarani berkata demikian menerusi perkongsian di Facebook selepas selepas menghadiri program retreat MCA Perak di MH Hotel, Ipoh.
Dalam pada itu beliau turut menyifatkan MCA merupakan rakan komponen yang setia bersama BN dan mempunyai sejarah panjang dalam perjuangan gabungan berkenaan.
Namun katanya, pengalaman melalui pelbagai fasa dalam politik membuktikan bahawa setiap kekalahan bukan pengakhiran, sebaliknya menjadi ruang untuk kebangkitan.

“Mereka pernah berada di kedudukan yang cukup kuat memenangi banyak kerusi dalam pilihan raya. Mereka juga pernah sampai di titik terendah apabila kehilangan banyak kerusi serta sokongan rakyat.
“Tetapi dalam politik, kekalahan semalam dan hari ini tidak bermakna kita akan terus kalah selamanya
“Semoga dapatan dari kem ini dapat membantu MCA Perak merancang dan menyusun langkah yang akan menguatkan parti serta menyuntik semangat baharu kepada seluruh kepimpinan dan keluarga MCA Perak,” ujar beliau.
Turut hadir Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Timbalan Presiden MCA yang juga Pengerusi bagi MCA Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon. – UMNO Online
