Jalur Gemilang Warnai Lekir Merdeka Fun Walk

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Lumut, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyemarakkan semangat kemerdekaan dengan menyertai Lekir Merdeka Fun Walk yang berlangsung hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan Tinggi terlebih dahulu menunaikan solat Subuh berjemaah di Masjid Haji Isa, Lekir bersama masyarakat setempat sebelum menyertai program berkenaan.

“Selesai solat, suasana pagi bertukar semakin meriah apabila kami berkumpul untuk menyertai Lekir Merdeka Fun Walk 2026, yang bermula dari Masjid Haji Isa, Batu 8, anjuran Kelab Adalia Manjung.

“Seronok melihat penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat, anak-anak, golongan muda, ibu bapa hinggalah warga emas,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Katanya, kemeriahan program turut terserlah apabila peserta hadir dengan mengenakan pakaian bertemakan Jalur Gemilang selain membawa bendera Malaysia sebagai tanda kecintaan terhadap negara.

Dalam pada itu Zambry berkata, penganjuran program seumpama itu bukan sekadar melalui pengibaran Jalur Gemilang tetapi turut dengan menghimpunkan masyarakat dan mengeratkan silaturahim.

“Inilah antara cara kita menyemarakkan bulan kebangsaan.

“Bukan sekadar dengan mengibarkan Jalur Gemilang, tetapi dengan menghimpunkan masyarakat, mengeratkan silaturahim dan memupuk rasa kebersamaan,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO