Zaifulbahri Tinjau SMK Juasseh Susulan Runtuhan Bumbung Bangunan Bengkel

JUASSEH, 19 Ogos – Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Modal Insan Negeri Sembilan, Datuk Zaifulbahri Idris, turun padang meninjau keadaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Juasseh susulan kejadian runtuhan bumbung bangunan bengkel sekolah.

Beliau berkata, tindakan segera telah diambil sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan, termasuk penyusunan semula kelas, pemeriksaan aspek keselamatan serta perancangan kerja-kerja baik pulih.

“Saya segera ke SMK Juasseh sebaik dimaklumkan mengenai kejadian bumbung bangunan bengkel runtuh.

“Saya ingin merakamkan tahniah atas tindakan pantas dan profesional pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kerja Raya (JKR), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pihak pengurusan sekolah,” katanya.

Menurut beliau yang juga ADUN Chembung, keutamaan ketika ini adalah memastikan keselamatan warga sekolah selain memastikan proses pembelajaran dapat diteruskan dalam keadaan terkawal.

Zaifulbahri turut mengadakan pertemuan bersama wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi mendapatkan pandangan serta memastikan kerjasama antara semua pihak dapat diperkukuhkan dalam menangani kejadian tersebut.

“Insha-Allah, kita akan terus bekerjasama dan memastikan segala tindakan susulan dapat dilaksanakan sebaik mungkin demi keselamatan dan kebajikan warga sekolah,” katanya lagi.

Beliau turut memuji komitmen semua agensi yang terlibat dalam memberikan respons pantas bagi memastikan keadaan di SMK Juasseh dapat ditangani dengan segera dan teratur.

Dilaporkan bumbung bangunan SMK Juasseh, runtuh dalam kejadian pada Selasa. Bagaimanapun tiada mangsa yang dilaporkan cedera dalam kejadian sekitar jam 12 tengah hari itu. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO