Reezal Merican Perkukuh Hubungan Perdagangan Malaysia-Kemboja
KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan perdagangan Malaysia-Kemboja serta membuka lebih banyak peluang pasaran baharu kepada syarikat dan produk Malaysia di negara berkenaan.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam berkata, penyertaan dalam Export Acceleration Mission (EAM) to Phnom Penh, Cambodia merupakan platform penting untuk memperluas jaringan perniagaan, mengenal pasti peluang baharu dan memperkukuh kedudukan syarikat Malaysia di pasaran Kemboja.

“Sepanjang misi ini, kita akan terus memperkukuh hubungan perdagangan dan membuka lebih banyak peluang pasaran baharu kepada syarikat serta produk Malaysia di Kemboja.
“Yang lebih penting, kita mahu memastikan misi ini bukan sekadar membawa pulang kad nama, tetapi menghasilkan hubungan, prospek perniagaan dan peluang sebenar untuk syarikat Malaysia,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya sempena EAM di Phnom Penh yang turut menghimpunkan pemimpin perniagaan dan rakan strategik dari Malaysia dan Kemboja.
Menurut Reezal Merican, penyertaan 26 syarikat Malaysia dalam misi berkenaan mencerminkan kesungguhan sektor perniagaan negara untuk meneroka peluang yang lebih luas di Kemboja, khususnya menerusi kerjasama perdagangan, pelaburan dan pengembangan eksport.
Katanya, hubungan perdagangan Malaysia-Kemboja kini menunjukkan momentum yang amat positif apabila jumlah perdagangan bagi enam bulan pertama 2026 mencecah USD0.83 bilion (RM3.32 bilion), meningkat 51.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Angka ini menunjukkan bahawa terdapat potensi yang besar untuk kita terus memperkukuh hubungan ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua negara.
“Kita mahu momentum ini diterjemahkan kepada lebih banyak kontrak, lebih banyak jaringan perniagaan dan lebih banyak produk Malaysia menembusi pasaran Kemboja,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Reezal Merican turut mengadakan pertemuan dengan Duta Besar Malaysia ke Kemboja, H.E. Dr. Shaharuddin Onn bagi bertukar pandangan mengenai perkembangan terkini hubungan dua hala serta membincangkan usaha memperkukuh kerjasama perdagangan dan ekonomi Malaysia-Kemboja.
Pertemuan tersebut memberi tumpuan kepada usaha memperluas akses pasaran, mengenal pasti peluang perniagaan baharu serta memperkukuh kehadiran dan daya saing syarikat-syarikat Malaysia di Kemboja.

Reezal Merican berkata, hubungan erat antara kerajaan, agensi perdagangan, komuniti perniagaan dan rakan strategik kedua-dua negara amat penting bagi memastikan peluang yang tersedia dapat diterjemahkan kepada hasil yang memberi manfaat kepada ekonomi Malaysia.
“Di MATRADE, kami akan terus memainkan peranan sebagai jambatan yang menghubungkan syarikat Malaysia dengan dunia.
“Kita mahu membuka lebih banyak ruang dan peluang baharu, memacu pertumbuhan eksport serta memastikan syarikat Malaysia berani melangkah ke pasaran antarabangsa,” katanya.
Beliau yakin Kemboja mempunyai potensi besar sebagai antara pasaran yang boleh diterokai dengan lebih agresif oleh syarikat Malaysia, selaras dengan perkembangan ekonomi dan peningkatan hubungan perdagangan antara kedua-dua negara.
“Daripada peluang hari ini, kita bina perkongsian untuk hari esok. Itulah semangat yang kita bawa dalam misi ini – memperkukuh hubungan perdagangan, memperluas pasaran dan membawa lebih banyak produk serta kepakaran Malaysia ke persada antarabangsa,” katanya lagi. – UMNO Online
