Pembangunan Sabah Terus Jadi Keutamaan – Salleh Said
KOTA KINABALU, 19 Ogos – Bendahari UMNO Sabah merangkap Ketua Merinyu Projek Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak, berkata tumpuannya adalah membantu Kerajaan Negeri memastikan projek pembangunan dilaksanakan mengikut perancangan serta memberi manfaat kepada rakyat.
Beliau berkata demikian selepas berkesempatan berbincang dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di Pejabat Merinyu Projek Sabah semalam, dengan perbincangan tertumpu kepada usaha memastikan projek pembangunan dipantau dengan berkesan serta memberi hasil yang diharapkan rakyat.

“Untuk mengelakkan sebarang salah faham, pertemuan ini tidak menyentuh soal politik atau hubungan BN–GRS. Perkara tersebut sewajarnya diuruskan oleh kepimpinan kedua-dua pihak melalui saluran yang sesuai.
“Saya sendiri tidak terlibat dalam sebarang rundingan politik antara BN dan GRS,” katanya.
Menurut Salleh, tanggungjawabnya adalah membantu Kerajaan Negeri dalam pemantauan dan penyelarasan projek, termasuk mengenal pasti masalah atau kelewatan lebih awal serta membantu mempercepatkan tindakan susulan.
Dalam pada itu, beliau berpandangan BN Sabah perlu melihat peranannya berdasarkan realiti politik Sabah hari ini.
“Dengan pengalaman dan kekuatan akar umbi yang ada, BN boleh memainkan peranan yang konstruktif dalam melengkapi GRS serta menyumbang kepada kestabilan dan keberkesanan pentadbiran iaitu bukan semata-mata mengejar kedudukan dominan,” katanya.
Salleh berkata soal politik diserahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan parti, manakala tumpuannya adalah membantu Kerajaan Negeri memastikan pembangunan dilaksanakan dengan baik dan manfaatnya benar-benar sampai kepada rakyat Sabah. – UMNO Online
