Bila DUN Negeri Sembilan Bersidang… Cerita Sebenar Terbongkar

TERDEDAH pula betapa menipunya PH bila DUN Khas Negeri Sembilan bersidang hari ini.
Tiga perkara semakin jelas menunjukkan bagaimana pentadbiran PH sebelum PRN bermain dengan persepsi, timing dan wang kerajaan.

Pertama, peruntukan RM180,000 + RM45,000 kepada ADUN-ADUN PH.
Peruntukan itu diluluskan dalam MMKN pada 3 Jun 2026.
Malam 4 Jun, Menteri Besar PH mengumumkan pembubaran DUN.
Kemudian wang tersebut dibayar pada 4 Julai, selepas DUN sudah dibubarkan dan ketika negeri sedang menuju PRN.

Lebih pelik, peruntukan RM180,000 itu diluluskan untuk tempoh Julai hingga Oktober, sedangkan DUN sudah pun dibubarkan sebelum tempoh tersebut bermula.

Maknanya kerajaan PH meluluskan peruntukan kepada ADUN mereka sendiri bagi tempoh selepas mereka tidak lagi berfungsi sebagai ADUN dalam DUN yang masih hidup.

ADUN BN yang sepatutnya berada dalam kerajaan perpaduan Negeri Sembilan pula tidak dapat.
Ini bukan lagi sekadar soal timing yang buruk.

Ini menunjukkan kerajaan lama membuat keputusan kewangan pada saat-saat terakhir pentadbiran untuk memberi manfaat kepada wakil-wakil mereka sendiri bagi tempoh yang jatuh selepas pembubaran DUN.

Perkara ini pun telah diperakui ADUN PH sendiri dalam sidang DUN hari ini.
Pembelaan bahawa semuanya “ikut prosedur” langsung tidak mengubah hakikat itu.
Prosedur dalaman tidak menjadikan keputusan itu automatik wajar.
Wang rakyat diluluskan kepada ADUN PH, pada saat akhir sebelum pembubaran, untuk tempoh Julai hingga Oktober ketika DUN sudah dibubarkan.
Itu sendiri sudah cukup untuk menunjukkan betapa buruknya pertimbangan politik dan tadbir urus ketika itu.

Kedua, cerita kononnya kerajaan Negeri Sembilan mempunyai “rizab RM1.2 bilion”.
Selama ini angka RM1.2 bilion diwar-warkan seolah-olah kerajaan negeri mempunyai timbunan wang bebas yang begitu besar hasil kehebatan pengurusan PH.
Rupanya gambaran itu tidak lengkap.

Hampir 30% daripada jumlah yang disebut itu termasuk wang yang telah disatukan untuk tujuan tertentu seperti MARRIS dan pembangunan.
Maknanya, RM1.2 bilion itu bukan RM1.2 bilion wang bebas yang kerajaan boleh belanja sesuka hati.
Tetapi angka besar itulah yang dijual kepada rakyat untuk membina persepsi bahawa kedudukan kewangan negeri sangat kukuh.
Bila angka dipecahkan, ceritanya tidak lagi secantik slogan.

Rizab sebenar yang benar-benar bebas digunakan adalah lebih kecil daripada angka headline yang diwar-warkan.

Ini contoh klasik bagaimana angka yang secara teknikal mungkin wujud dalam akaun boleh dipersembahkan dengan cara yang menghasilkan gambaran politik jauh lebih hebat daripada realiti sebenar.

Ketiga, bonus “2+1 bulan” penjawat awam.
Sebelum ini kerajaan PH mengumumkan Bantuan Khas Kewangan dua bulan gaji serta satu lagi bayaran berdasarkan prestasi.

Pengumuman dibuat dengan gah.
Tetapi selepas kerajaan bertukar, DUN hari ini terpaksa meluluskan tambahan RM13 juta khusus untuk membayar BKK dua bulan serta BKK berasaskan prestasi tersebut.
Maknanya mudah.
Bonus diumumkan dahulu. Peruntukan penuh belum tersedia. Pilihan raya berlangsung.
Selepas itu baru bajet tambahan dibawa ke DUN untuk cukupkan bayaran.

Itu bukan perancangan kewangan yang meyakinkan.
Itu gaya announce dulu, hanya tunaikan jika mereka menang.
Ini juga bermaksud ianya kerajaan BN-PN yang benar-benar beri bonus itu kepada penjawat awam sebab BN-PN yang akhirnya luluskan dalam DUN – bukan PH.

Bila ketiga-tiga perkara ini dilihat bersama, coraknya sangat jelas.
Peruntukan kepada ADUN PH diluluskan pada saat akhir sebelum DUN dibubarkan – malah untuk tempoh Julai hingga Oktober selepas pembubaran di mana kebanyakan orang PH itu bukan lagi wakil Rakyat.

“Rizab RM1.2 bilion” dijual kepada rakyat tanpa menjelaskan bahawa sebahagiannya bukan wang bebas.

Bonus 2+1 bulan diumumkan dahulu sebelum peruntukan tambahan RM13 juta diluluskan kemudian.

Ini bukan sekadar kelemahan komunikasi.

Ini cara pentadbiran lama membina persepsi sebelum PRN, sedangkan selepas pilihan raya barulah angka, pecahan dana dan komitmen sebenar mula terbuka satu demi satu dalam DUN.

SUMBER: Eric See-To – Lim Sian See

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO