Kekal Dalam Kerajaan Tuntut Hormat, Tanggungjawab

KONGRES Nasional PKR dan Kongres Kebangsaan DAP baru-baru ini memperlihatkan mesej politik yang sukar diselaraskan.

Kedua-dua pentas memperlihatkan naratif yang sangat agresif terhadap UMNO dan Barisan Nasional. Namun kedua-duanya berakhir dengan naratif yang sama iaitu bersama Barisan Nasional bagi meneruskan kerjasama Kerajaan Perpaduan.

Pakatan Harapan tidak boleh mentafsir kerjasama Kerajaan Perpaduan mengikut keselesaan politik diri sendiri.

Perlu diingatkan bahawa Kerajaan Perpaduan ialah sebuah gabungan pasca-pilihan raya yang dibentuk selepas PRU15 apabila tiada satu parti atau gabungan memperoleh majoriti untuk membentuk Kerajaan Persekutuan. Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri dengan sokongan beberapa gabungan, termasuk UMNO dan Barisan Nasional.

Kerjasama tersebut bertujuan membolehkan sebuah kerajaan dibentuk, Parlimen berfungsi dan negara ditadbir dengan stabil. Ia bukan asilimasi idealogi parti dan bukan perjanjian bermaksud BN-PH membentuk satu kolisi agung. Formula politik di Putrajaya tidak semesti digunakan secara automatik dalam setiap pilihan raya negeri.

Bagi PKR, tuduhan bahawa UMNO telah mengkhianati PH itu di Johor dan Negeri Sembilan adalah tidak tepat sama sekali, malahan ia adalah satu pemesongan fakta.

Di Johor, kerajaan BN telah dibentuk sebelum kewujudan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan. Apabila Dewan Undangan Negeri dibubarkan, mandat dipulangkan semula kepada rakyat. Semua parti bertanding, menawarkan manifesto masing-masing dan rakyat Johor telah memilih BN untuk membawa mandat bagi penggal seterusnya.

Itu ialah keputusan demokrasi, bukan pengkhianatan. Mandat rakyat tidak boleh dianggap sah hanya apabila keputusannya memihak kepada PH.

Di Negeri Sembilan pula, masalah tidak bermula dengan pembahagian kerusi pilihan raya. Ia bermula apabila UMNO-BN hilang keyakinan terhadap cara Menteri Besar daripada PH mengendalikan krisis yang menyentuh Adat Perpatih, institusi diraja dan batas antara pentadbiran politik dengan struktur adat negeri.

PH kemudiannya memilih untuk membubarkan dewan undangan negeri serta bertanding di kesemua 36 kerusi. Maka tidak tepat untuk menggambarkan pertandingan tersebut sebagai tindakan sepihak UMNO atau bukti bahawa UMNO telah mengkhianati Kerajaan Perpaduan.

Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri boleh mempunyai susunan politik yang berbeza. Perbezaan tersebut tidak dengan sendirinya bermakna komitmen di peringkat Persekutuan telah dilanggar. Situasi ini sama dengan di negeri Sabah, namun tidak kedengaran pula ketika itu laungan khianat atau tikam belakang.

Bagi DAP, keputusan 88.2 peratus perwakilannya untuk terus berada dalam kerajaan membawa maksud yang jelas. DAP memilih untuk berkongsi kuasa dan tanggungjawab bersama UMNO-BN sehingga akhir penggal.

Jawatan dikongsi, maka hormat dan tanggungjawab juga mesti dikongsi. Tidak wajar kejayaan kerajaan dituntut sebagai milik sendiri, tetapi setiap kos politik dan kekalahan pilihan raya diletakkan di bahu UMNO-BN.

Kongres DAP berlangsung selepas PH mengalami kemerosotan dalam tiga pilihan raya negeri berturut-turut di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan. Apabila sokongan merosot, tidak memadai untuk menyalahkan “tembok politik perkauman” atau mendakwa UMNO menjadi punca utama.

Pengundi menilai rekod, prestasi dan janji yang pernah diberikan.

Rakyat masih menunggu penyempurnaan reformasi seperti pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya. Jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang perlu dipisahkan daripada individu yang sama. Peniaga kecil masih membangkitkan beban e-Invois dan pendekatan pematuhan LHDN, manakala kenaikan serta peluasan SST terus memberi kesan kepada perniagaan dan pengguna.

Janji berkaitan PTPTN, harga minyak dan pelbagai pembaharuan institusi juga terus dibandingkan dengan realiti pentadbiran hari ini.

Rakyat turut menilai pelbagai keberkesanan berterusan program Kerajaan yang ada antaranya dilihat merugikan seperti MyKiosk bernilai RM150 juta. Ini termasuk dengan pelbagai lagi skandal berkaitan PH yang masih belum selesai atau disenyapkan seperti pemilikan saham pegawai tinggi kerajaan, kontrak yang diberikan kepada suami seorang Menteri, salah laku dalam pelbagai agensi di bawah Kementerian kawalan PH, pelbagai kontrak besar kerajaan dimenangi oleh syarikat yang dikawal oleh individu berkait rapat Perdana Menteri sendiri serta kerugian ratusan juta pelaburan KWAP akibat penipuan.

Persoalan-persoalan tersebut tidak hilang hanya kerana UMNO dijadikan sasaran baharu.

UMNO-BN merupakan sebahagian daripada kerajaan dan tidak pernah menafikan tanggungjawab bersama untuk memperbaiki kelemahan pentadbiran. Namun tanggungjawab kolektif tidak boleh digunakan secara terpilih.

UMNO tidak pernah meminta DAP meninggalkan identitinya. DAP juga tidak boleh menganggap penyertaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan bermakna UMNO mesti berdiam diri apabila garis merah yang menjadi asas persetujuan BN menyertai kerajaan terus diuji.

Asas tersebut termasuk penghormatan terhadap Islam, kedudukan Melayu dan Bumiputera, Bahasa Melayu serta institusi Raja-Raja Melayu.

Selepas beberapa kekalahan pilihan raya, sebahagian pemimpin DAP semakin kembali kepada bingkai kaum dan agama untuk memenangi semula sokongan pengundi tradisi mereka. Penolakan pengundi terhadap PH tidak boleh secara automatik disifatkan sebagai masalah perkauman, sedangkan begitu banyak persoalan mengenai prestasi dan janji sendiri masih belum dijawab.

Begitu juga dengan serangan terhadap kepimpinan UMNO-BN yang semakin agresif ketika musim pilihan raya.

Apabila laporan, “pendedahan” dan tuduhan dibawa pada waktu kempen tetapi tidak disusuli dengan pendakwaan, pemulihan aset atau tindakan undang-undang yang jelas, masyarakat akan mempersoalkan sama ada isu tersebut benar-benar dibawa untuk menegakkan akauntabiliti atau sekadar menghasilkan kesan politik.

RCI dan institusi penguatkuasaan tidak sepatutnya dilihat sebagai senjata pilihan raya. Apabila masa dan cara sesuatu pendedahan lebih menyerupai strategi kempen, keyakinan awam terhadap proses tersebut turut terjejas.

Serangan berterusan terhadap UMNO-BN tidak memadamkan persoalan terhadap PH. Sebaliknya, setiap serangan hanya membawa perhatian masyarakat kembali kepada janji yang belum ditunaikan, dasar yang membebankan dan isu integriti yang masih belum mendapat penjelasan.

YAB Perdana Menteri telah menegaskan bahawa kerjasama dengan BN di peringkat Persekutuan perlu diteruskan. Majoriti besar perwakilan DAP juga telah membuat keputusan untuk kekal dalam Kerajaan Perpaduan.

Maka keputusan politiknya telah dibuat.

UMNO akan menghormati Kerajaan Perpaduan dan melaksanakan amanah sehingga akhir penggal selaras dengan perjanjian yang telah dipersetujui.

Marilah kita menghormati Kerajaan Perpaduan, menjaga disiplin kerjasama dan menyelesaikan amanah sehingga akhir penggal. Gunakan saluran yang telah dipersetujui untuk mengurus perbezaan. Tumpukan usaha kepada ekonomi, kos sara hidup, dan kebajikan rakyat. Tunaikanlah manifesto yang masih tertunggak.

Kita bekerja sehingga tamat penggal. Selepas itu, biarlah rakyat mengadili rekod sebenar setiap parti.

OLEH: DATUK SURAYA YAACOB
Setiausaha Penerangan UMNO Malaysia

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO