RCI TH: Perbezaan Kaedah Perakaunan Tidak Buktikan Mala Fide – Adnan
KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan menolak sekeras-kerasnya dakwaan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) telah menyeleweng wang Tabung Haji.
Beliau berkata, perlu ada perbezaan yang jelas antara accounting treatment, accounting judgement dan criminal misconduct sebelum sesuatu dakwaan terhadap pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) dibuat.
“Kita perlu tahu membezakan antara accounting treatment, accounting judgement dan criminal misconduct. Perbezaan kaedah perakaunan tidak dengan sendirinya membuktikan mala fide atau kesalahan jenayah. Jika terdapat perbezaan antara Realizable Asset Value (RAV) dengan MFRS. Apakah asas yang digunakan, siapa yang meluluskan dan apakah pendedahan yang dibuat.
“Bagi tahun kewangan 2017, penyata kewangan Tabung Haji telah diaudit oleh Jabatan Audit Negara dan menerima Pendapat Tanpa Teguran dengan Emphasis of Matter, termasuk isu berkaitan polisi dan peruntukan rosot nilai,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika Perbahasan Usul Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) di Dewan Rakyat, semalam.
Tambah beliau, jika benar berlaku creative accounting atau manipulasi, bagaimana ia boleh melalui keseluruhan rantaian pengurusan, Lembaga Pengarah, Jawatankuasa Audit dan proses audit.
“Jika mahu mendakwa berlaku creative accounting, buktikan mensrea, buktikan pelanggaran undang-undang atau piawaian, dan buktikan siapa yang bertanggungjawab.
“Ini adalah soal burden of proof, due process dan akauntabiliti,” ujarnya.
Dalam pada itu, Adnan turut mencadangkan supaya Lembaga Tabung Haji (TH) mempertimbangkan kadar khas bagi rayuan mahram serta pengiring kepada jemaah haji lanjut usia bagi memastikan mereka tidak terbeban dengan kos penuh bayaran haji.

Menurut beliau, cadangan itu penting kerana terdapat jemaah lanjut usia yang memerlukan mahram atau pengiring daripada kalangan pasangan atau anak bagi membantu mereka sepanjang menunaikan ibadah haji di Tanah Suci.
“Kuala Pilah ingin mencadangkan supaya Tabung Haji mempertimbangkan kadar khas bagi rayuan mahram dan pengiring jemaah lanjut usia. Pada masa ini, bayaran haji Muassasah bagi kumpulan B40 ialah RM15,000, manakala rayuan yang diluluskan dikenakan kos penuh RM33,300.
“Bagi pasangan atau anak yang mengiringi jemaah lanjut usia, Kuala Pilah mencadangkan supaya mereka turut diberi kadar RM15,000, sama seperti jemaah Muassasah yang terpilih,” katanya. – UMNO Online
