RCI Tabung Haji Perlu Diteliti Secara Adil – Azalina
KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Mesyuarat Khas Dewan Rakyat berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji yang berlangsung hari ini memberi ruang kepada Ahli-Ahli Parlimen meneliti secara menyeluruh dapatan serta syor yang dikemukakan.
Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata laporan berkenaan mengemukakan beberapa dapatan penting yang sewajarnya diberikan perhatian serius oleh semua pihak.

Menurut beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO, ruang perbahasan yang diberikan kepada Ahli-Ahli Parlimen perlu dimanfaatkan untuk meneliti kandungan laporan, mengemukakan pandangan serta mendapatkan penjelasan secara adil, objektif dan berasaskan fakta.
“Laporan ini mengemukakan beberapa dapatan penting yang sewajarnya diberikan perhatian serius.
“Saya berharap Ahli-Ahli Parlimen menggunakan ruang yang diberikan untuk meneliti dapatan laporan ini, mengemukakan pandangan serta mendapatkan penjelasan secara adil, objektif dan berasaskan fakta,” katanya.
Azalina berkata, Tabung Haji merupakan sebuah institusi yang amat penting bukan sahaja kepada umat Islam, malah kepada negara, justeru sebarang tindakan susulan terhadap dapatan RCI perlu dilaksanakan dengan penuh tertib serta berpandukan kerangka undang-undang.
Beliau menegaskan bahawa sebarang tindakan susulan hendaklah dilaksanakan berlandaskan undang-undang dan proses yang sewajarnya tanpa prejudis kepada mana-mana pihak.
“Tabung Haji merupakan sebuah institusi yang amat penting kepada umat Islam dan negara. Sebarang tindakan susulan terhadap dapatan RCI hendaklah dilaksanakan berlandaskan undang-undang, proses yang sewajarnya dan tanpa prejudis kepada mana-mana pihak,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menekankan bahawa keutamaan selepas laporan tersebut dibentangkan adalah memastikan tadbir urus Tabung Haji terus diperkukuh bagi menjamin kepentingan dan amanah para pendeposit.
Katanya, segala kelemahan yang dikenal pasti perlu diberi perhatian sewajarnya agar langkah penambahbaikan dapat dilaksanakan secara berkesan dan memastikan perkara sama tidak berulang pada masa hadapan.
“Keutamaan kita mestilah memastikan tadbir urus Tabung Haji terus diperkukuh, amanah para pendeposit sentiasa dilindungi dan sebarang kelemahan yang dikenal pasti tidak berulang pada masa hadapan,” katanya lagi. – UMNO Online
