Rakyat Mahukan Pemimpin Bertanggungjawab, Bukan Salahkan Pengundi
KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Rakyat mahukan pemimpin yang berani menerima tanggungjawab, bukannya menyalahkan pengundi apabila berdepan kekalahan, kata Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin.
Ujarnya, selepas Pakatan Harapan (PH) menghadapi kekalahan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, mereka dilihat gagal dan enggan menerima keputusan yang telah dibuat rakyat.

“Selepas PRN Negeri Sembilan, tidak ada seorang pun pemimpin PH yang benar-benar akur, tawaduk atau bermuhasabah atas kekalahan yang mereka alami. Sebaliknya, mereka dilihat gagal dan enggan menerima keputusan yang telah dibuat oleh rakyat.
“Malah, dalam sidang media khas selepas kekalahan tersebut, Khalid Samad daripada PAN dilihat seolah-olah menyalahkan rakyat apabila menyatakan bahawa pengundi masih dipengaruhi politik identiti dan perkauman berbanding menilai prestasi kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran video di laman Facebooknya.
Ujarnya, terdapat pelbagai faktor yang perlu dimuhasabah selepas melihat rakyat menolak mereka antaranya janji ‘bulan bintang’ sebelum menang pada pilihan raya sebelum ini.
“Saya ingin menjawab kenyataan Khalid Samad tersebut. Pertama, rakyat menilai pelbagai faktor dalam membuat keputusan. Antaranya ialah tindakan Perdana Menteri Malaysia ke-10 menggunakan isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) sebagai senjata politik ketika kempen PRN sedang memuncak.
“Kedua, rakyat juga tidak melupakan janji-janji pilihan raya yang pernah ditaburkan oleh PH tetapi masih belum ditunaikan, sekaligus menimbulkan kekecewaan dalam kalangan pengundi.
“Ketiga, sokongan daripada pengundi kaum Cina dan India turut menyusut berbanding sebelum ini kerana mereka juga berasa kecewa terhadap prestasi kerajaan,” katanya lagi.
Tambahnya, kegagalan Kerajaan Negeri Sembilan yang dipimpin bekas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun turut menjadi faktor utama kekalahan PH pada PRN kali ini.
“Keempat, kegagalan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun dalam menguruskan isu-isu seperti krisis adat dan institusi Undang turut menjadi antara faktor yang mempengaruhi penilaian rakyat. Pada pandangan saya, kerajaan negeri ketika itu gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan berkesan.
“Kelima, Perdana Menteri dilihat bersendirian menjadi panglima utama sepanjang kempen di Negeri Sembilan. Persoalannya, di manakah Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden PKR? Ramai pemimpin utama hanya dilihat turun pada saat-saat akhir.
“Malah, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang sering menjadi jurucakap utama PH pula berada di Kedah bagi melancarkan pasukan bola sepak ketika kempen di Negeri Sembilan sedang berlangsung.
“Inilah antara faktor yang membawa kepada kekalahan PH di Negeri Sembilan. Namun, paling mengecewakan ialah tindakan menghantar Khalid Samad sebagai jurucakap yang akhirnya memberikan gambaran seolah-olah rakyatlah yang bersalah kerana tidak tahu membuat pilihan atau tidak bijak menilai,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau juga mengingatkan Perdana Menteri untuk tidak bergantung kepada ‘kaki pukul’ politik dan terus menyalahkan pengundi.
“Sebaliknya, saya ingin mengingatkan bagaimana Datuk Seri Najib Tun Razak menerima kekalahan pada Pilihan Raya Umum 2018. Beliau tidak pernah menyalahkan rakyat. Sebaliknya, kepimpinan ketika itu memilih untuk bermuhasabah, mengakui kelemahan dan menilai apa yang perlu diperbaiki.
“Nasihat saya kepada Perdana Menteri, cukuplah bergantung kepada ‘kaki pukul politik’ daripada PAN. Rakyat hari ini mahukan kepimpinan yang berani menerima tanggungjawab, bukannya mencari alasan atau menyalahkan pengundi apabila berdepan kekalahan,” katanya lagi. – UMNO Online
