Hormati Pilihan Pengundi, Jangan Main Sentimen “Double Standard” – TPr Abdul Razak
KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Kepong, Datuk TPr Abdul Razak Abdul Rahman menyelar sikap segelintir pihak yang didakwanya mengamalkan ‘double standard’ apabila melabel keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebagai manifestasi ‘politik perkauman’ dan ‘politik identiti’, hanya kerana corak sokongan pengundi Melayu berbeza daripada jangkaan mereka.
Beliau menegaskan bahawa dalam demokrasi, setiap rakyat berhak menentukan pilihan berdasarkan pelbagai faktor termasuk rekod pentadbiran, dasar parti, calon, ekonomi, agama, bangsa, kepentingan kawasan dan masa depan keluarga.
“Hak itu bukan milik satu kaum sahaja. Kalau pilihan politik berdasarkan kecenderungan kelompok tertentu dianggap demokrasi apabila ia menguntungkan kita, maka pilihan yang sama mesti dihormati apabila ia tidak memihak kepada kita.
“Jangan apabila orang kita menang, kita panggil ‘mandat rakyat’, tetapi apabila orang lain menang, kita panggil ‘politik perkauman’. Itu bukan prinsip demokrasi… itu ‘double standard’.
“Jangan menghina kebijaksanaan pengundi Melayu dengan menganggap apabila mereka bersatu memilih PN atau BN, mereka hanya bertindak kerana sentimen kaum,” katanya.
Tambah beliau, tafsiran sedemikian bukan sahaja tidak adil, malah mencerminkan kegagalan menghormati hak rakyat untuk membuat pilihan secara bebas dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi.
“Saya agak hairan dengan kenyataan yang mengatakan keputusan PRN Negeri Sembilan menunjukkan wujudnya politik perkauman dan politik identiti.
“Apabila sebahagian besar pengundi cina memilih Dap kerana merasakan parti itu mampu mewakili kepentingan dan aspirasi mereka, tiada siapa tergesa-gesa melabelnya sebagai politik perkauman.
“Namun apabila sebahagian besar pengundi Melayu membuat pilihan untuk bersatu menyokong BN atau PN, tiba-tiba ia dianggap politik identiti, politik perkauman atau kononnya didorong sentimen kaum. Kenapa ukuran itu berubah mengikut siapa yang menang,” katanya lagi.
Seterusnya kata Abdul Razak, setiap pengundi mempunyai pertimbangan yang rasional berdasarkan pengalaman, realiti kehidupan, isu semasa dan harapan terhadap masa depan negara.
“Mereka juga ada pertimbangan, keresahan, pengalaman dan sebab-sebab tersendiri. Hormatilah pilihan mereka sebagaimana kita mahu pilihan kelompok lain dihormati.
“Demokrasi bukan tentang siapa yang kita suka. Demokrasi ialah tentang menghormati keputusan rakyat… walaupun keputusan itu tidak memihak kepada kita.
Dalam masa sama beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan yang telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi serta berharap mandat yang diberikan akan dipikul dengan penuh amanah.
“Tahniah kepada rakyat Negeri Sembilan yang telah membuat keputusan. Pilihan anda membawa amanah besar kepada yang dipilih untuk memastikan semua mendapat manfaat tanpa mengira kaum dan identiti,” ujarnya. – UMNO Online
