PRN NS: Ahmad Zahid Seru Rakyat Keluar Mengundi Demi Masa Depan Negeri
KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyeru seluruh rakyat Negeri Sembilan agar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dengan penuh amanah dan kebijaksanaan pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
Menerusi satu hantaran di Threads, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata detik pengundian pada hari ini bakal menentukan hala tuju Negeri Sembilan untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Saya menyeru seluruh rakyat Negeri Sembilan agar keluar menunaikan tanggungjawab dengan penuh amanah dan kebijaksanaan,” kata Presiden UMNO itu lagi.
Seterusnya, pada masa sama Ahmad Zahid mendoakan agar proses pengundian berlangsung dengan lancar dalam suasana aman, harmoni serta segala urusan dipermudahkan oleh Allah SWT.
Menurutnya lagi, kestabilan dan keharmonian sepanjang proses demokrasi berlangsung adalah asas penting dalam memastikan rakyat dapat membuat pilihan dengan tenang dan yakin.
“Mudah-mudahan segala yang terbaik dikurniakan buat Negeri Sembilan dan seluruh rakyatnya. Selamat mengundi,” ujar beliau.
Hari ini, rakyat Negeri Sembilan akan membuat pilihan bagi menentukan kerajaan negeri yang bakal menerajui pentadbiran untuk tempoh lima tahun akan datang.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seramai 859,760 daripada 889,940 pengundi berdaftar layak mengundi pada hari ini setelah tirai kempen dilabuhkan tepat 11.59 malam tadi selepas berlangsung selama 14 hari bermula 18 Julai lalu.
Manakala sebanyak 401 pusat mengundi membabitkan 1,668 saluran bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dibuka bermula jam 8 pagi ini dan akan ditutup jam 6 petang dengan penglibatan seramai 15,344 petugas pilihan raya akan terbabit dalam proses mengundi.
PRN kali ini menyaksikan keseluruhan 103 calon sah bertanding merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan pertandingan tiga penjuru di 21 kerusi DUN, diikuti 11 kerusi dua penjuru, manakala masing-masing dua kerusi melibatkan pertandingan empat penjuru dan lima penjuru.
Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan 36 calon, diikuti BN 25 calon, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 24 calon, Perikatan Nasional (PN) 11 calon dan Bebas empat calon.
Manakala masing-masing seorang calon bagi Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Orang Asli Malaysia (Asli) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
