Jangan Biarkan MyJPJ Jadi Projek Digital Yang Gagal – Raime

TENOM, 1 Ogos – Ketua Bahagian UMNO Tenom, Datuk Raime Unggi, menggesa kerajaan mengambil tindakan segera terhadap kelemahan aplikasi MyJPJ yang terus menerima rungutan daripada rakyat, khususnya di Tenom.

Beliau yang juga mantan Ahli Parlimen Tenom berkata, sejak kebelakangan ini semakin ramai penduduk mengadu menghadapi kesukaran mengakses aplikasi berkenaan kerana sistem sering mengalami gangguan, lambat berfungsi (lag) dan gagal menyelesaikan urusan yang sepatutnya boleh dilakukan secara dalam talian.

“Ini bukan sekadar aduan yang saya terima daripada rakyat. Saya sendiri mengalami kesukaran menggunakan aplikasi tersebut. Apabila cuba mendaftar secara dalam talian, sistem tidak berfungsi dengan baik.

“Lebih mengecewakan, apabila menghubungi talian hotline, pengguna pula diminta hadir ke kaunter atau kiosk JPJ. Jika akhirnya rakyat tetap perlu ke kaunter, apa gunanya sistem digital ini?” katanya.

Menurut Raime, keadaan itu jelas menunjukkan objektif pendigitalan masih gagal dicapai kerana rakyat bukan sahaja membuang masa, malah terpaksa mengeluarkan kos tambahan untuk hadir ke pejabat JPJ selepas gagal menggunakan aplikasi.

“Keadaan ini seolah-olah membawa rakyat kembali ke ‘back to square one’. Pendigitalan sepatutnya memudahkan urusan, bukannya menambah birokrasi dan menyusahkan pengguna.” katanya menerusi kenyataan media, di sini, Jumaat.

Beliau turut mempersoalkan keberkesanan perbelanjaan kerajaan bagi membangunkan sistem tersebut sekiranya rakyat masih tidak dapat menikmati perkhidmatan yang cekap dan mesra pengguna.

“Kerajaan tidak boleh hanya berbangga dengan agenda pendigitalan sedangkan rakyat masih terpaksa beratur di kaunter akibat kegagalan sistem. Jika masalah ini berlarutan, ia hanya akan dilihat sebagai satu lagi pembaziran wang rakyat.”

Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) supaya melaksanakan penambahbaikan secara menyeluruh terhadap aplikasi MyJPJ, meningkatkan kestabilan sistem serta memastikan talian bantuan benar-benar menyelesaikan masalah pengguna, bukannya sekadar mengarahkan mereka kembali ke kaunter. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO