RCI Tabung Haji: Hentikan Sebarang Naratif Jahat – Bastien

RASAH, 31 Julai – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Segamat, Datuk Bastien Onn menyeru semua pihak untuk menghentikan sebarang pembinaan naratif jahat terhadap laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH).

Ujarnya, UMNO/Barisan Nasional (BN) sudah semestinya bersedia untuk bertanggungjawab memandangkan RCI tersebut dibuat pada zaman pemerintahan BN.

“Saya tidak tahu apa tujuan kerajaan mengumumkan RCI pada musim Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan ini. Tetapi umum harus mengetahui bahawa ia adalah keputusan kabinet dan BN adalah sebahagian daripada kerajaan yang berdiri pada hari ini.

“Sekiranya ia bertujuan untuk mengalih sokongan atau menimbulkan keresahan di kalangan orang Melayu… saya harap dengan pengumuman RCI ini, ia dapat merungkai dan memberitahu bahawa UMNO/BN juga bersedia untuk bertanggungjawab terhadap RCI ini. Ini kerana tempoh RCI ini dilakukan semasa pemerintahan BN.

“Jadi, nyata ia juga adalah satu keputusan daripada kabinet yang adanya BN. Harap ia dapat menghentikan sebarang pembinaan naratif ketika musim pilihan raya dan berkempen ini.

“Tidak ada naratif lain, sebaliknya UMNO/BN sebahagian daripada kerajaan bersedia sekiranya ada sebarang perkara yang tidak baik dan menyalahi undang-undang, kita juga mahu ada tindakan diambil selaras peraturan sedia ada,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar rakyat di Negeri Sembilan dapat menilai dengan bijak segala naratif politik yang dimainkan pihak lawan pada PRN kali ini.

“Saya jangka ia mungkin digunakan sebagai senjata kerana melihat orang Melayu bersatu hati di Negeri Sembilan ini seperti yang ditunjukkan di Johor. Mungkin mereka mahu menimbulkan perasaan sangsi kepada BN dan juga orang-orang Melayu khususnya.

“Kepada pengundi di Negeri Sembilan ini, saya harap semua maklum pengumuman dapatan RCI ini merupakan sebahagian keputusan UMNO/BN. Saya berharap ia dapat mematikan sebarang spekulasi berkenaan dengan ini dan semua pengundi di Negeri Sembilan ini membaca laporan RCI tersebut,” katanya lagi.

Terdahulu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam), Datuk Seri Jamil Khir Baharom menegaskan tiada unsur ‘sakau’ dalam laporan RCI berhubung isu pengurusan Lembaga TH.

Sebaliknya, beliau berkata, antara perkara yang disentuh dalam laporan RCI tersebut adalah berkaitan pemberian hibah kepada pendeposit dan kedudukan kewangan serta liabiliti TH. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO