PRN: Undi Esok Penentu Masa Depan Negeri Sembilan
KUALA PILAH, 31 Julai – Bersempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada esok, Ketua UMNO Bahagian Kulai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor menyeru seluruh pengundi, khususnya yang berada di luar negeri, agar pulang menunaikan tanggungjawab mereka.
Beliau berkata ia penting kerana pilihan yang dibuat bakal menentukan hala tuju pentadbiran negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.
“Saya yakin pengundi di Negeri Sembilan matang dan bijak untuk membuat pilihan demi membentuk kerajaan yang mereka impikan dengan pilihan terbaik itu ialah BN dan Perikatan Nasional (PN).
“Saya faham ada yang bekerja dan menetap di luar, namun ibu bapa, adik-beradik, saudara-mara dan sahabat handai mereka masih berada di Negeri Sembilan.
“Pilihan raya kali ini amat penting kerana kerajaan yang dipilih akan menentukan hala tuju negeri untuk tempoh lima tahun akan datang,” katanya ketika ditemui UMNO Online.
Mengulas lanjut, Mohd Jafni berkata UMNO Bahagian Kulai yang juga merupakan bahagian angkat bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senaling yakin sokongan rakyat di kawasan itu terus menunjukkan perkembangan positif.
Katanya pengalaman melalui beberapa fasa perubahan pentadbiran sejak 2018 sebagai faktor yang menjadikan pengundi kini lebih matang dalam menilai kepimpinan.
“Saya melihat sentimen pengundi di Johor dan Negeri Sembilan hampir sama. Mereka sudah menilai sendiri prestasi setiap kerajaan dan kini mengharapkan BN kembali menerajui pentadbiran sebagaimana dizahirkan di Johor.
“Terdapat banyak persamaan dari segi sentimen pengundi di kedua-dua negeri ini. Rakyat mahukan sebuah kerajaan yang stabil serta mempunyai hubungan yang baik dengan Kerajaan Persekutuan supaya agenda pembangunan dan kebajikan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” ujar beliau.
Terdahulu, PRN Negeri Sembilan diadakan susulan pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri untuk memilih kerajaan baharu.
Pilihan raya kali ini menyaksikan persaingan beberapa gabungan utama termasuk BN, Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) serta calon bebas di 36 kerusi DUN. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib
