PRN: Rakyat Negeri Sembilan Perlu Terjemah
 Sokongan Di Peti Undi

KUALA PILAH, 31 Julai – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin percaya rakyat Negeri Sembilan bersedia menterjemahkan sokongan mereka kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Gombak berkata, ini kerana ia berdasarkan sambutan positif yang diterima sepanjang tempoh berkempen.

“Alhamdulillah kita dapat melihat gelombang biru itu benar-benar berlaku. Gelombang yang dikatakan datang dari Johor kini jelas dapat dirasai di Negeri Sembilan.

“Rata-rata pengundi yang ditemui oleh jentera BN sama ada menerusi pelbagai program mahupun ziarah dari rumah ke rumah, memberikan respon yang sangat positif.

“Saya percaya rakyat ingin menyampaikan suara mereka pada PRN kali ini. Mungkin inilah juga semangat dan momentum yang dibawa dari Johor ke Negeri Sembilan.

“Sepanjang saya menjelajah seluruh Negeri Sembilan, saya dapat merasakan suasana yang amat positif dalam kalangan pengundi. Kini hanya berbaki dua hari sebelum hari pengundian dan tempoh ini amat kritikal,” katanya.

Megat berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan temu mesra bersama pengundi tempatan di Ampang Tinggi, di sini.

Turut hadir Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan serta kepimpinan tempatan.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru seluruh jentera BN agar terus memperhebat gerak kerja pada baki tempoh kempen dengan mendekati seramai mungkin pengundi.

“Bagi kita, tumpuan dan fokus mesti terus diberikan kepada usaha memastikan sokongan yang dizahirkan oleh rakyat diterjemahkan kepada undi pada hari pengundian nanti, insya-Allah,” ujar beliau.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini, manakala pengundian awal pada 28 Julai.

PRN Negeri Sembilan diadakan susulan pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri untuk memilih kerajaan baharu. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO