PH Tidak Boleh Lepas Tangan Isu RCI TH, BN Buktikan Komited

KUALA LUMPUR, 31 Julai – Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar menegaskan pemimpin Pakatan Harapan (PH) tidak boleh mengelak daripada memikul tanggungjawab terhadap pendedahan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) selepas laporan itu dinyahklasifikasi dan diluluskan Kabinet untuk dibentangkan kepada umum.

Beliau berkata, keputusan Kabinet dibuat secara konsensus, justeru semua menteri termasuk daripada PH perlu bertanggungjawab terhadap kandungan laporan berkenaan dan tidak seharusnya hanya menuding jari kepada Barisan Nasional (BN).

“Apabila Kabinet secara konsensus bersetuju mendedahkan laporan RCI TH, semua menteri perlu bertanggungjawab. PH tidak boleh bersembunyi di sebalik keputusan itu sedangkan laporan tersebut turut menyentuh tempoh pentadbiran mereka,” katanya.

Menurut beliau, laporan RCI itu merangkumi tempoh 2014 hingga 2020, sekali gus melibatkan pentadbiran BN sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan pentadbiran PH selepas pertukaran kerajaan pada 2018.

Katanya, jika penemuan berkaitan hibah, subsidi haji dan pembayaran bonus kepada kakitangan TH sering dijadikan modal politik terhadap BN, maka PH juga perlu menjawab isu-isu yang berlaku sepanjang mereka mentadbir, termasuk prestasi pelaburan TH selepas PRU14.

Beliau turut mempersoalkan kerugian beberapa pelaburan saham milik TH, kegagalan syarikat tujuan khas yang diwujudkan bagi mengurus aset TH serta kelewatan pendedahan laporan tersebut kepada rakyat.

“BN tidak pernah berniat menyorokkan sebarang salah laku. Malah RCI Tabung Haji ditubuhkan ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri, membuktikan BN komited kepada ketelusan dan tidak berkompromi dalam usaha mencari kebenaran,” katanya.

Dalam masa sama, Gulam berkata tindakan menteri-menteri Kabinet daripada BN yang menyokong pembentangan laporan RCI TH kepada umum membuktikan parti itu konsisten mengamalkan prinsip akauntabiliti serta keterbukaan.

Beliau turut mencabar kerajaan supaya menunjukkan keberanian yang sama dengan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) bagi memastikan semua isu yang dibangkitkan dapat disiasat secara telus tanpa memilih pihak. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO