“Kita Bersetuju Untuk Mulakan Sejarah Penyatuan Ini Di Negeri Sembilan”

JELEBU, 31 Julai – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata usaha memperkukuhkan penyatuan antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan lahir daripada hasrat untuk menyatukan kekuatan ummah, sekali gus mewujudkan kestabilan politik demi kepentingan rakyat serta negara.

Beliau berkata, sejak diberi amanah menerajui UMNO Negeri Sembilan, pelbagai perancangan telah disusun dengan matlamat memastikan orang Melayu tidak terus berpecah, namun pada masa sama kepentingan seluruh rakyat tanpa mengira kaum terus dipelihara.

“Sewaktu saya diberi mandat sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, saya teliti dan merancang untuk jangka panjang supaya orang Melayu jangan berpecah.

“Bukan bermakna kita mahu mewujudkan negeri Melayu dan bukan juga bermaksud hanya orang Melayu yang memimpin. Tetapi orang Melayu sebagai pemimpin tidak pernah melupakan masyarakat Cina, India dan Orang Asli. Kita menjaga semua kaum kerana kita mempunyai pengalaman mentadbir negeri dan negara,” katanya.

Jalaluddin yang juga calon BN dan penyandang bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang berkata demikian ketika berucap di program santai bersama anak muda tempatan dan perantauan di Felda Pasoh 1 di sini, malam tadi, yang turut dihadiri pimpinan Pas kawasan.

Menurut Jalaluddin, pengalaman mentadbir membuktikan UMNO sentiasa mengamalkan pendekatan inklusif dengan mengambil kira kebajikan dan kepentingan semua lapisan masyarakat.

Dalam masa sama, beliau berkata suara akar umbi yang mahukan penyatuan dalam kalangan parti-parti Melayu tidak boleh dipandang ringan kerana ia lahir daripada keinginan melihat umat Islam kembali bersatu.

“Apabila saya mendengar pandangan orang Melayu, mereka berkata UMNO memperjuangkan agama Islam, UMNO memperjuangkan orang Melayu dan mempertahankan Perlembagaan. Pas juga memperjuangkan perkara yang sama.

“Jadi mereka bertanya, mengapa UMNO dan Pas ataupun UMNO dengan Perikatan Nasional (PN) mesti terus berpecah-belah?” katanya.

Jelas beliau, persoalan tersebut menjadi asas kepada perbincangan yang diadakan di peringkat kepimpinan sehingga akhirnya mencapai persetujuan untuk memulakan lembaran baharu penyatuan di Negeri Sembilan.

“Maka dengan itu kita mengambil keputusan. Perbincangan di antara kedua-dua kepimpinan tertinggi berlangsung dengan baik dan kita mencapai kata sepakat tanpa sebarang perbalahan.

“Kita bersetuju untuk memulakan sejarah penyatuan ini di bumi bertuah Negeri Sembilan,” ujar Ahli Parlimen Jelebu itu lagi.

Mengulas mengenai hari pengundian pada 1 Ogos, Jalaluddin menyifatkan tarikh tersebut sebagai detik penting yang bakal menjadi catatan sejarah kepada perjuangan politik di Negeri Sembilan.

Katanya, seluruh jentera serta penyokong perlu hadir dengan semangat perjuangan yang tinggi demi memastikan agenda penyatuan dapat diterjemahkan melalui sokongan rakyat.

Beliau turut menyeru anak-anak muda serta pengundi yang berada di luar Negeri Sembilan agar pulang menunaikan tanggungjawab dan bersama-sama mencipta sejarah.

“Saya berharap anak-anak, adik-adik kita yang berada di luar dapat pulang. Jumpa mak ayah dan berikan sokongan kepada Barisan Nasional serta Perikatan Nasional.

“Kita bawa satu ketumbukan yang luar biasa. Kita bawa pasukan yang luar biasa. Ini suara kita, suara anak muda, suara ibu bapa dan suara keluarga kita. Tidak ada sesiapa yang boleh membeli suara perjuangan rakyat,” katanya lagi.

Tambah beliau, penyatuan yang dimulakan di Negeri Sembilan diharap menjadi pencetus kepada penyatuan yang lebih besar sehingga ke peringkat nasional.

“Insya-Allah, jika penyatuan ini berjaya kita mulakan di negeri bertuah ini, negara juga akan dipimpin melalui ikatan penyatuan yang sama.

“Kita berdoa kepada Allah SWT agar penyatuan ini tidak terhenti di tengah jalan. Biarlah ia bermula di Negeri Sembilan, diikuti negeri-negeri lain dan akhirnya diterjemahkan dalam kepimpinan di peringkat Persekutuan,” katanya.

Beliau turut mengajak seluruh rakyat mendoakan agar usaha tersebut membuahkan hasil demi masa depan negeri dan negara, selain menyifatkan generasi muda sebagai pencetus kepada sejarah baharu politik Negeri Sembilan.

“Saya yakin selepas 1 Ogos nanti, anak-anak muda di Pertang, Sungai Lui, Klawang, Chennah dan seluruh Negeri Sembilan akan berbangga mengatakan bahawa tertubuhnya kerajaan penyatuan ummah di Negeri Sembilan adalah hasil sokongan dan undi mereka sendiri.

“Itulah sejarah yang akan dikenang oleh generasi akan datang, insya-Allah,” katanya. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO