Jangan Gadaikan Masa Depan Negeri Sembilan, Pilih Kerajaan Berpengalaman – Hasni
RASAH, 31 Julai – Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Ir Hasni Mohammad menyeru rakyat di Negeri Sembilan untuk memilih Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini agar tidak menggadaikan masa depan negeri tersebut.
Ini kerana katanya, Negeri Sembilan merupakan salah sebuah negeri yang berpotensi untuk menempa kemajuan pada masa akan datang sekiranya dipimpin oleh parti yang berpengalaman.

“Negeri Sembilan sedang menuju untuk menjadi salah sebuah negeri yang maju dalam negara kita. Maka, Negeri Sembilan perlu mengambil berat setiap perkembangan yang berlaku.
“Saya melihat PRN kali ini, Negeri Sembilan sedang menyusun, merangka dan memikirkan bagaimana negeri ini perlu ditadbir. Tetapi saya percaya bahawa parti-parti yang bertanding, harus memikirkan tentang masa depan Negeri Sembilan ini.
“Kita tidak boleh berpura-pura atau mereka cerita yang hanya bertujuan untuk membuat janji manis. Tidak boleh. Orang Negeri Sembilan akan menolaknya kerana mereka tahu betapa pentingnya Negeri Sembilan ini,” katanya kepada UMNO Online.
Ujarnya, sudah semestinya rakyat di Negeri Sembilan mendambakan sesuatu yang lebih baik pada masa hadapan menerusi proses demokrasi ini.
“Saya percaya bahawa pada PRN kali ini, khususnya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu… apabila saya melihat ramai datang berhimpun pada malam ini, mereka sudah membuat keputusan dan ada pendirian tentang kerajaan serta wakil rakyat yang mereka kehendaki.
“Apabila saya melihat Umaira Hasim (calon) memberikan ucapan dan memperkenalkan diri… saya dapat melihat wajah-wajah penduduk di kawasan ini. Dari satu segi, mereka amat berbangga kerana wakil rakyat yang bertanding ini adalah calon yang muda dan mempunyai masa depan.
“Secara rumusannya, pada PRN kali ini tentunya mereka menginginkan sesuatu keadaan untuk Negeri Sembilan yang lebih baik daripada sekarang,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau berpandangan bahawa persefahaman di antara BN dan Perikatan Nasional (PN) merupakan satu formula yang sesuai dengan tuntutan semasa serta bakal membuahkan hasil.

“UMNO sebagai parti berpengalaman dan mempunyai jentera pilihan raya yang lebih menyeluruh serta mencakupi semua aspek kemasyarakatan, merasakan bahawa di Negeri Sembilan ini perlu BN bersefahaman dengan PN.
“Pucuk pimpinan membuat keputusan untuk bersefahaman dengan PN… ini adalah satu formula yang sesuai dengan keadaan dan tuntutan semasa.
“Saya percaya BN dan PN tidak akan menjadi mangsa keadaan. Malah, gandingan dan persefahaman ini sebenarnya akan membuahkan hasil yang diharapkan,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut menyeru rakyat di Negeri Sembilan untuk memberikan kepercayaan kepada BN demi menjadikannya sebagai salah sebuah negeri yang maju pada masa akan datang.
“Pesanan saya kepada pengundi di kesemua 36 kawasan DUN, khususnya di Labu, sebagaimana saya kongsikan… Negeri Sembilan akan menyertai lima negeri yang telah maju sekiranya memilih sebuah parti stabil untuk mentadbir.
“Janganlah digadaikan masa depan dan peluang peluang. Bawalah Negeri Sembilan ini menjadi salah sebuah negeri yang maju dalam negara kita,” katanya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai, manakala hari pengundian 1 Ogos, selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 5 Jun lepas setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
