Calon BN Tekad Perkasakan Industri Agro, N. Sembilan Perlukan Dasar Mesra Pelabur

BAHAU, 31 Julai – Barisan Nasional (BN) bertekad memperkasakan sektor industri berasaskan agro di Bahau sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan belia agar mereka tidak lagi berhijrah ke luar daerah untuk mencari rezeki.

Calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bahau Chong Fui Ming berkata, kawasan itu mempunyai potensi besar dalam sektor pertanian namun sehingga kini pembangunan industri di kawasan itu masih belum berkembang secara menyeluruh.

Menurut beliau, sepanjang dua dekad lalu, pembangunan di Bahau lebih tertumpu kepada pembinaan kawasan perumahan, namun sektor perindustrian yang mampu menjana peluang pekerjaan masih berada pada tahap yang minimum.

“Bahau mempunyai kekuatan dalam sektor agro seperti kelapa sawit, getah, buah-buahan, durian dan kini turut berkembang dengan tanaman nanas. Ini merupakan kelebihan yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya.

“Kita mahu membawa industri berasaskan Agrotek dan teknologi pertanian ke Bahau. Apabila industri berkaitan diwujudkan, ia bukan sahaja membuka lebih banyak peluang pekerjaan, malah mampu mengukuhkan ekonomi setempat,” katanya yang juga seorang akauntan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bagi DUN Bahau.

Tambah beliau, kekurangan peluang pekerjaan menjadi antara faktor utama golongan muda meninggalkan Bahau untuk bekerja di bandar-bandar lain sehingga menyebabkan majoriti penduduk yang tinggal kini terdiri daripada warga emas.

“Saya mahu anak-anak muda mempunyai pilihan untuk terus tinggal dan bekerja di Bahau. Dengan kemasukan pelaburan serta pembangunan industri yang bersesuaian, ekonomi Bahau akan menjadi lebih pesat dan memberi manfaat kepada seluruh masyarakat,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau yang dikenali sebagai Ah Chong turut berpandangan bahawa Negeri Sembilan memerlukan dasar yang lebih mesra pelabur bagi menarik kemasukan pelaburan baharu ke Bahau.

Katanya, usaha menarik pelabur perlu dipermudahkan supaya lebih banyak industri dapat diwujudkan sekali gus merancakkan ekonomi negeri dan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat.

Selain aspek ekonomi, beliau turut memberi perhatian terhadap isu kemudahan kesihatan di Bahau yang menurutnya perlu dipertingkatkan sejajar dengan pertambahan penduduk.

Beliau berkata, antara masalah yang sering dibangkitkan penduduk ialah kekurangan doktor dan jururawat di klinik kesihatan sehingga menyebabkan tempoh menunggu pesakit menjadi lebih lama.

“Jika diberi mandat, kita akan berusaha meningkatkan kapasiti perkhidmatan kesihatan termasuk menambah tenaga kerja perubatan supaya rakyat mendapat rawatan yang lebih cepat dan berkualiti,” katanya.

Beliau turut menyentuh isu kelewatan ketibaan ambulans ketika kecemasan yang menurutnya perlu diberikan perhatian segera kerana boleh memberi kesan kepada keselamatan dan nyawa pesakit.

Ah Chong menjelaskan, sepanjang berkhidmat sebagai Ahli Majlis sebelum ini, beliau banyak menerima aduan dan mendengar sendiri keperluan penduduk setempat.

Katanya, selain menyelesaikan isu asas seperti jalan raya, lampu jalan dan sistem perparitan, keutamaan BN adalah membawa perubahan yang memberi impak besar kepada ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat di Bahau.

“Yang paling penting ialah bagaimana kita dapat mewujudkan pembangunan yang memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk, membuka peluang pekerjaan dan menjadikan Bahau sebuah kawasan yang lebih maju serta berdaya saing,” katanya. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO