BN Komited Perkasakan Pendidikan Tinggi Masyarakat Orang Asli

JEMPOL, 31 Julai – Barisan Nasional (BN) akan terus memperkukuhkan agenda pendidikan masyarakat Orang Asli dengan memastikan lebih ramai anak-anak daripada komuniti itu berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi sebagai pelaburan jangka panjang untuk mengubah kehidupan mereka.

Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendidikan merupakan agenda yang sentiasa diberi keutamaan oleh kerajaan kerana ia adalah kunci kepada kemajuan dan mobiliti sosial masyarakat Orang Asli.

Menurut beliau, pelbagai usaha telah digerakkan menerusi Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sejak beliau diberi amanah menerajui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), termasuk memperluaskan peluang kemasukan anak-anak Orang Asli ke universiti.

“Pada tahun 2023 saya menetapkan sasaran 300 pelajar Orang Asli memasuki universiti dan sasaran itu berjaya dicapai. Tahun berikutnya sasaran dinaikkan kepada 400 orang, namun seramai 500 pelajar berjaya melanjutkan pengajian.

“Bagi tahun ini pula, sasaran 500 pelajar telah berjaya diatasi apabila seramai 642 anak Orang Asli berjaya memasuki universiti. Ini membuktikan mereka mampu bersaing apabila diberikan peluang dan sokongan yang mencukupi,” katanya ketika berucap pada program bersama masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Batu Peti, Rompin di sini.

Tambah Timbalan Perdana Menteri itu, kejayaan tersebut menjadi bukti bahawa dasar yang dilaksanakan kerajaan mampu membuka ruang lebih luas kepada masyarakat Orang Asli untuk menikmati pendidikan tinggi sekali gus melahirkan lebih ramai golongan profesional dalam kalangan komuniti itu.

“Hasrat saya ialah melihat masyarakat Orang Asli di Malaysia menjadi komuniti Orang Asli yang paling maju dari segi pendidikan di rantau Asia Tenggara.

“Sebab itu kita bukan sahaja menyediakan kemudahan asas seperti jalan, bekalan air dan elektrik, malah kita mahu melahirkan lebih ramai graduan daripada masyarakat Orang Asli,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut memaklumkan bahawa kerajaan sedang memperkukuhkan kedudukan masyarakat Orang Asli melalui pindaan Akta Orang Asli agar lebih banyak manfaat dan peruntukan dapat disalurkan kepada komuniti berkenaan.

Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan Negeri Sembilan jika diterajui Barisan Nasional selepas pilihan raya negeri ini mewujudkan jawatan Pegawai Khas Hal Ehwal Orang Asli di Pejabat Menteri Besar bagi menyelaras keperluan serta pembangunan masyarakat tersebut dengan lebih berkesan.

Tegas beliau, BN akan terus memberi perhatian kepada kebajikan masyarakat Orang Asli bukan sahaja melalui pembangunan fizikal, malah dengan memperkasakan pendidikan sebagai asas membina masa depan yang lebih cemerlang untuk generasi akan datang.

“Berikan kepercayaan kepada Barisan Nasional. Insya-Allah, kita akan terus menjaga kebajikan masyarakat Orang Asli dan memastikan lebih ramai anak-anak mereka berjaya hingga ke menara gading,” katanya. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO