BN Berupaya Lonjakkan Pertumbuhan Ekonomi Negeri Sembilan

JEMPOL, 31 Julai – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan BN berkeupayaan untuk melonjakkan pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan sebagaimana kejayaan yang dicapai di Johor sekiranya diberi mandat untuk kembali menerajui kerajaan negeri.

Kata Timbalan Perdana Menteri itu, Negeri Sembilan mempunyai potensi besar untuk berkembang lebih pesat, namun pertumbuhan ekonomi negeri itu masih ketinggalan berbanding Johor.

“Johor telah mencapai GDP (Keluaran Dalam Negeri Kasar) sebanyak 8 peratus, tetapi Negeri Sembilan hanya mencapai kira-kira 4.6 peratus. Ertinya Negeri Sembilan tertinggal daripada pertumbuhan ekonomi.

“Sekiranya Barisan Nasional dapat mengambil alih Negeri Sembilan, kita mahu Negeri Sembilan ini dimajukan sebagaimana Johor telah maju sebagai negeri yang berada di barisan hadapan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih seribu masyarakat India dalam satu perjumpaan di Dewan Terbuka Taman Jaya, di sini, petang tadi.

Oleh kerana itulah ujarnya, BN Negeri Sembilan memperkenalkan manifesto dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini antara fokus untuk menyelesaikan semua program pembangunan yang tertangguh serta menambah baik inisiatif sedia ada demi manfaat rakyat.

Kata Presiden UMNO itu lagi, BN mahu terus memajukan kawasan industri di Negeri Sembilan kerana terdapat kawasan-kawasan industri yang telah dibuka oleh Kerajaan BN sebelum tahun 2018, di bawah Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Tambahnya juga, BN beriltizam mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan baharu dalam tempoh lima tahun, dengan separuh daripadanya terdiri daripada pekerjaan berkemahiran tinggi yang menawarkan gaji permulaan sekurang-kurangnya RM3,000.

Jelasnya, usaha itu akan diperkasakan menerusi Majlis TVET Negara bagi memastikan anak-anak muda Negeri Sembilan memiliki kemahiran yang diperlukan industri sekali gus menikmati peluang pekerjaan bergaji premium.

Selain itu, beliau berkata BN berjanji menyediakan 25,000 unit rumah mampu milik dengan sokongan kerajaan negeri dari segi penyediaan tanah serta infrastruktur bagi membolehkan harga rumah ditawarkan lebih rendah daripada harga pasaran.

Dalam masa yang sama, Ahmad Zahid berkata BN akan mempergiat pembangunan sektor perindustrian termasuk memperkasakan kawasan Malaysia Vision Valley (MVV) sebagai hab pelaburan baharu, termasuk pembangunan Halal Industrial Park yang mampu menarik lebih ramai pelabur asing.

Dalam perkembangan yang sama, Ahmad Zahid berkata semangat kebangkitan rakyat yang menyaksikan kemenangan besar BN di Johor diyakini mampu diterjemahkan di Negeri Sembilan apabila rakyat daripada pelbagai kaum mahukan sebuah kerajaan yang stabil dan berpengalaman.

“Gelombang biru Johor akan juga berlaku di Negeri Sembilan. Saya yakin semangat orang Negeri Sembilan mahukan Barisan Nasional memerintah semula Negeri Sembilan.
“Orang India, orang Cina, orang Melayu, orang Asli, mereka mahukan Barisan Nasional menjadi kerajaan semula. Saya minta rakyat dapat memberikan sokongan hanya kepada calon-calon Barisan Nasional di Negeri Sembilan.

“Kita juga kena tolong calon-calon daripada Perikatan Nasional. Sebab mereka pun tolong kita. Kita tolong mereka, mereka pun tolong kita. inilah yang dikehendaki oleh rakyat pelbagai kaum bahawa kita harus mengadakan satu kesepakatan dan kesefahaman agar Malaysia sebagai negara majmuk, negara pelbagai kaum dapat disatukan semula di bawah panji-panji Barisan Nasional,” katanya. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO