SWP, Skuad Sayang 3K Santuni Pesakit Uzur Dan Strok – Dr Masliha
LENGGENG, 30 Julai – Komitmen Wanita UMNO Malaysia dalam menyantuni masyarakat terus diterjemahkan menerusi Program Ziarah Kesihatan apabila Pengerusi Sekretariat Wanita Profesional (SWP), Dr. Masliha Harun bersama Pengerusi Skuad Sayang 3K merangkap Exco Wanita UMNO Malaysia, Hisham Suhaily Othman turun padang menziarahi pesakit uzur dan strok di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng.
Dr. Masliha berkata, aktiviti berkenaan bukan sekadar menyediakan khidmat kaunseling perubatan, malah menjadi medium untuk menyampaikan kasih sayang, memberi semangat dan menghulurkan sokongan moral kepada pesakit serta ahli keluarga yang menjaga mereka.

“Program ini bukan sekadar menyampaikan khidmat kaunseling perubatan, tetapi membawa kasih sayang, memberi semangat serta menyantuni mereka yang sedang diuji dengan kesihatan.
“Semoga setiap kunjungan ziarah kesihatan kepada pesakit uzur dan strok menjadi pengubat hati dan memberi kekuatan kepada pesakit serta ahli keluarga yang setia menjaga mereka.
“Semoga lebih ramai rakyat dapat disantuni, kerana keprihatinan adalah jambatan yang menghubungkan hati sesama insan,” katanya.
Beliau yang juga Exco Wanita UMNO Malaysia, turut menegaskan bahawa usaha menyantuni rakyat melalui pendekatan kebajikan dan kesihatan akan terus diperkasakan selaras dengan aspirasi “Menyantuni Rakyat, Membina Negeri Sihat.
“Pendekatan turun padang dan menyelami sendiri denyut nadi rakyat akan terus menjadi keutamaan bagi memastikan setiap lapisan masyarakat, khususnya golongan uzur, pesakit kronik, ibu tunggal serta keluarga yang memerlukan, tidak tercicir daripada menerima perhatian dan bantuan sewajarnya.

“Program seumpama itu bukan sekadar menyampaikan sumbangan, malah menjadi bukti komitmen berterusan dalam memperkukuh budaya prihatin, mempererat hubungan antara pemimpin dan masyarakat serta memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi agenda utama,” jelasnya.
Tambah Dr Masliha, kesihatan dan kebajikan rakyat adalah asas kepada kesejahteraan sesebuah negeri.
“Sebab itu kita akan terus memperluaskan program-program yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat, agar tiada siapa yang dipinggirkan,” ujarnya.
Program tersebut turut disertai Datin Seri Hamisah Hussein, isteri Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dr. Aaron Kong dan Dr. Fareed yang bersama-sama memberikan khidmat serta sokongan kepada pesakit sepanjang ziarah berlangsung. – UMNO Online
