RCI TH: Kebenaran Terbukti, LOD Gantirugi RM5 Juta Berjaya Diserahkan Kepada Pemfitnah

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa dakwaan yang mengaitkan beliau dengan isu berkaitan Tabung Haji (TH) adalah fitnah yang tidak berasas selepas tiada langsung namanya dikaitkan di dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH.

Menerusi hantaran di platform Threads, beliau bersyukur apabila kebenaran akhirnya terbukti dan menjelaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan memperakukan jawatan Timbalan Menteri tidak mempunyai kuasa sebagaimana tohmahan yang telah dilemparkan terhadap beliau.

“Alhamdulillah, kebenaran terbukti. Tiada langsung nama saya dikaitkan sebagaimana fitnah yang disebarkan.

“Bahkan Perlembagaan Persekutuan memperakukan bahawa jawatan Timbalan Menteri tiada kuasa sebagaimana tohmahan,” katanya yang pernah menjadi Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri pada tahun 2015 hingga 2018.

Seterusnya, Dr Asyraf turut memaklumkan bahawa tindakan undang-undang akan diteruskan terhadap individu yang menyebarkan fitnah berkenaan.

Menurutnya, surat tuntutan (Letter of Demand/LOD) telah berjaya diserahkan kepada pihak terbabit dan tuntutan gantirugi berjumlah RM5 juta difailkan bagi mempertahankan maruah serta membersihkan namanya.

“Saman RM5 juta bakal menanti. LOD telahpun berjaya diserahkan kepada pemfitnah,” ujar Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu.

 

Dalam masa sama, Dr Asyraf turut menyatakan komitmen bahawa sekiranya mahkamah memutuskan beliau layak menerima ganti rugi, keseluruhan jumlah tersebut akan diinfaqkan kepada Yayasan Pelajaran MARA bagi membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.

“Janji saya, insya-Allah setiap sen wang gantirugi yang ditetapkan oleh mahkamah kelak, semuanya akan diinfaqkan kepada Yayasan Pelajaran MARA untuk manfaat pelajar miskin,” katanya.

Baru-baru ini dalam satu perkongsian di Facebook, Dr Asyraf Wajdi melalui peguamnya Datuk Adnan Seman telah menyerahkan LOD saman gantirugi RM5 juta kepada dua pemfitnahnya berhubung isu Tabung Haji.

LOD tersebut diserahkan kepada pemilik akaun Abied Abdullah iaitu Habin Faisal bin Mohamed dan Dato’ Dr Ismail bin Salleh yang mengaibkan dan memfitnahnya berkenaan isu tersebut

Dalam LOD yang diwakili firma guaman Tetuan Adnan Sharida & Associates, bertarikh 27 Julai 2026 itu menyatakan empat tuntutan.

i. Dalam masa lima hari dari tarikh surat ini, kamu mengeluarkan kenyataan menarik balik kesemua pernyataan-pernyataan fitnah tersebut yang ditujukan kepada Anakguam kami.

ii. Dalam masa lima hari dari tarikh surat ini, kamu mengeluarkan permohonan maaf secara bertulis dan video di media sosial kamu khususnya mukabuku kamu “Abied Abdullah” yang perlu dikekalkan selama setahun.

iii. Dalam masa lima hari dari tarikh surat ini, kamu mengeluarkan dan menerbitkan satu akujanji kepada Anakguam kami bahawa kamu tidak akan membuat pernyataan-pernyataan fitnah lagi kepada Anakguam kami.

iv. Dalam masa lima hari dari tarikh surat ini kamu membayar kepada Anakguam kami gantirugi sebanyak RM5,000,000.00 di atas pernyataan-pernyataan fitnah tersebut.

Jelas LOD itu lagi, jika pihak dituntut gagal dan enggan untuk berbuat sedemikian, maka Dr Asyraf yang mewakilkan firma guaman tersebut akan memfailkan tindakan saman sivil di mahkamah. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO