PRN: Manifesto BN Selari Keperluan Semasa Rakyat – Ismail

KUALA PILAH, 30 Julai – Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh, Datuk Ismail Lasim menyifatkan manifesto Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan sebagai satu tawaran yang inklusif kerana mengambil kira kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah, berkata ini kerana manifesto tersebut memenuhi keperluan masyarakat di kawasan bandar dan luar bandar.

“Saya mengalu-alukan pembentangan manifesto BN kali ini kerana ia merupakan satu manifesto yang inklusif, mengambil kira kesejahteraan rakyat secara keseluruhan sama ada di kawasan bandar mahupun luar bandar,” katanya.

Ismail berkata beberapa perkara dalam manifesto berkenaan menarik perhatian beliau, khususnya aspek pencahayaan kampung yang masih memerlukan penambahbaikan.

“Kita tahu ada kampung-kampung yang sudah mempunyai kemudahan elektrik, tetapi aspek pencahayaan masih belum mencukupi dan banyak permintaan daripada penduduk berkaitan perkara ini.

“Dalam konteks meningkatkan taraf hidup masyarakat, kebajikan dan kesejahteraan rakyat turut merangkumi penyediaan pencahayaan kampung.

“Kampung-kampung tradisional juga perlu diterangi dan mempunyai kemudahan yang setanding dengan kawasan moden di bandar,” ujar beliau.

Sementara itu, beliau turut sama menyentuh berkenaan penyediaan rumah mampu milik yang dikhususkan kepada golongan kurang berkemampuan.

Menurut Ismail walaupun terdapat pelbagai projek perumahan dibangunkan di kawasan berkenaan, rakyat masih memerlukan projek rumah rakyat yang benar-benar menyasarkan golongan yang memerlukan.

“Begitu juga dengan penyediaan rumah mampu milik kepada rakyat. Walaupun terdapat banyak projek perumahan dibangunkan di kawasan ini, rakyat masih memerlukan projek rumah rakyat yang benar-benar dikhususkan kepada golongan yang kurang berkemampuan.

“Dua aspek ini iaitu pencahayaan kampung dan penyediaan rumah mampu milik merupakan perkara penting, khususnya bagi masyarakat di kawasan luar bandar. Ini menunjukkan manifesto yang dibentangkan BN selari dengan keperluan semasa rakyat.

“Seperti yang saya nyatakan, manifesto ini benar-benar inklusif kerana merangkumi kesejahteraan rakyat sama ada yang tinggal di bandar mahupun luar bandar. Semua aspek kehidupan masyarakat diambil kira dalam manifesto BN ini,” ujar beliau.

Terdahulu BN Negeri Sembilan mengumumkan 88 usaha berpandukan sembilan teras utama sebagai manifestonya sempena PRN16.

Manifesto tersebut ditambah dengan 15 inisiatif Skim Salam Sejahtera, selain penubuhan satu Unit Penyelerasan Pemantauan Pelaksanaan Manifesto sekiranya gabungan itu diberi mandat membentuk Kerajaan Negeri Sembilan pada 1 Ogos depan. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO