Persefahaman BN-PN Tidak Perlu Dikhuatiri… Kita Hormati Agama, Bangsa Lain

RASAH, 30 Julai – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan bahawa persefahaman di antara BN dan Perikatan Nasional (PN) tidak perlu dikhuatiri oleh kaum-kaum lain.

Ujarnya, persefahaman tersebut dilakukan untuk mengelakkan pertembungan kerusi calon-calon di Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

“Selain berterima kasih kepada jentera di peringkat pusat daerah mengundi (PDM) dan jentera… saya secara spesifik ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan baharu daripada PN yang telah menterjemahkan sokongan mereka kepada kita.

“Apabila berhadapan PRN Johor, cara kita menyantuni mereka berbeza. Alhamdulillah Presiden dan Timbalan Presiden mereka telah meminta supaya pengundi-pengundi di Johor memberikan undi pada kita dan kita juga melakukan perkara sama. Namun mereka kurang bernasib baik di Johor.

“Apa yang berlaku di Negeri Sembilan ini, persefahaman ini adalah untuk mengelakkan pertembungan calon-calon BN yang terdiri daripada UMNO, MCA dan MIC dengan parti-parti di dalam PN.

“Ini penting. Sekiranya kerjasama ini telah sama-sama kita fahami, insya-Allah kejayaan pada 1 Ogos ini adalah kejayaan bersama atas persefahaman antara BN dan PN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Program Berolek Sekampung di sini, pada Rabu malam.

Beliau yang juga Presiden UMNO menegaskan bahawa persefahaman tersebut merupakan ‘game changer’ yang langsung tidak mengetepikan hak kaum-kaum lain.

“Ya, kita dari parti yang berbeza tetapi kita tidak mengetepikan bangsa dan agama lain. Insya-Allah persefahaman ini akan memberikan hasil yang optimum pada hari 1 Ogos nanti, insya-Allah.

“Ini adalah satu percaturan yang pada hemat saya tidak perlu dikhuatiri oleh sesiapa pun. Kita tidak asabiah. Kita bukan kumpulan yang ekstrem. Kita hormati agama dan bangsa lain. Jangan khuatir dengan persefahaman ini kerana ia merupakan satu ‘game changer’.

“Dalam BN kita ada orang Cina yang diwakili oleh MCA. Kita ada orang India yang diwakili oleh MIC dan kita ada Friends of BN yang mewakili pelbagai agama ataupun bangsa yang lain. Ertinya kita tidak menolak agama atau bangsa lain,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut berharap agar calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu, Siti Umaira Hasim bakal diisytiharkan sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut pada 1 Ogos nanti.

“Apa yang penting, pada 1 Ogos, Sabtu nanti… apabila peti undi ditutup, saya mahu N20 DUN Labu, Maira Hasim diisytiharkan sebagai pemenang untuk kerusi ini,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO