Pengundi Bijak Nilai Isu, Tidak Mudah Terpengaruh Sentimen Politik

SEREMBAN, 30 Julai – Pengundi di Negeri Sembilan diyakini cukup bijaksana untuk menilai setiap isu yang dibangkitkan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) tanpa mudah terpengaruh dengan sentimen atau permainan politik pihak tertentu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu dapat dilihat berdasarkan pengalaman pada pilihan raya terdahulu termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, apabila pelbagai isu dibangkitkan namun pengundi tetap membuat keputusan berdasarkan pertimbangan mereka sendiri.

“Pengundi amat bijaksana. Di Johor pun isu-isu lampau dibangkitkan. Contohnya, menang besar Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib akan dibebaskan.

“Saya rasa pengundi cukup bijaksana untuk membuat ketetapan dan juga membuat pendirian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sejurus selepas Program Ceramah Umum BN di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuah, Rabu.

Dalam pada itu, Dr Asyraf Wajdi berkata, BN turut menyambut baik keputusan kerajaan mendedahkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji, namun menegaskan sebarang dakwaan salah laku perlu disusuli dengan tindakan sewajarnya.

“UMNO sebelum ini telah lama menggesa supaya RCI ditubuhkan bagi menyiasat pelbagai dakwaan berkaitan institusi tersebut, termasuk proses pemulihan dan penstrukturan yang dilaksanakan.

“Apa yang paling penting, jangan ada yang terlepas. Kalau ada salah laku, ambil tindakan. Jangan hanya sekadar bercakap dan bermain sentimen serta mewujudkan persepsi yang tidak baik.

“Ia tidak sihat kepada institusi orang Melayu dan Islam dari segi kelangsungan dan kelestarian organisasi itu,” katanya.

Beliau pada masa sama mempersoalkan waktu pendedahan tersebut dibuat ketika PRN, namun menegaskan BN tetap menyokong prinsip ketelusan dan keterbukaan supaya rakyat dapat mengetahui perkara sebenar.

Sementara itu, menyentuh mengenai peluang BN pada PRN Negeri Sembilan, beliau berkata parti itu tidak mahu bersikap terlalu angkuh meskipun melihat beberapa indikator sokongan yang positif.

“BN akan terus bekerja keras sehingga hari pengundian dan menyeru rakyat supaya keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab mereka.

“Insya-Allah, kita tidak mahu terlalu angkuh dan bongkak. Kita ada dua hari sahaja lagi. Kita akan bekerja sekuat mungkin walaupun indikator-indikatornya amat positif.

“Paling penting, kita minta supaya pengundi-pengundi keluar beramai-ramai dan memberi undi kepada BN,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai, manakala hari pengundian 1 Ogos, selepas DUN dibubarkan pada 5 Jun lepas setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO