NS: Beri Peluang BN Gerakkan Semula Agenda Pembangunan Tertangguh
RASAH, 30 Julai – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Datuk Mohd Syahbuddin Hashim menyeru rakyat di Negeri Sembilan supaya memberikan peluang kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas berkata, ia untuk membolehkan BN meneruskan agenda pembangunan yang tergendala sejak 2018.

“Pada hari ini saya berada di Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu untuk program sembang santai bersama Timbalan Presiden kita, Datuk Seri Mohamad Hasan.
“Beliau telah memberikan kata-kata semangat dan menerangkan betapa pentingnya memperoleh kemenangan terutamanya di DUN Labu ini agar BN boleh menggerakkan kembali agenda-agenda pembangunan yang tertangguh sejak daripada tahun 2018.
“Daripada pemerhatian saya, BN mendapat tempat yang baik di hati rakyat dan kita harap gelombang biru yang sedang melanda dibawa daripada Selatan ke Negeri Sembilan. Insya-Allah kita pastikan calon-calon yang telah pun dinamakan bakal menang dalam 1 Ogos nanti,” katanya kepada UMNO Online.
Sementara itu, beliau berpandangan bahawa persefahaman di antara BN dan Perikatan Nasional (PN) diterima secara positif orang rakyat.
“Saya melihat persefahaman ini merupakan satu perkembangan yang baik kerana tidak berlaku pertembungan di antara dua parti besar dalam negara yang melibatkan ramai orang Melayu dan beragama Islam.
“Dua parti gergasi ini tidak bertembung, maka undi Melayu tidak akan berpecah. Jadi inilah merupakan satu persefahaman yang baik dan positif. Pada saya ini mungkin bibit-bibit awal ke arah persefahaman yang lebih besar untuk kita gerakkan di seluruh negara kelak,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau sekali lagi menyeru rakyat untuk memberi mandat kepada BN mentadbir Negeri Sembilan bagi meneruskan agenda yang tergendala
“Berilah peluang kepada pemimpin dan juga calon-calon BN. BN ini dari segi sejarahnya terbukti dapat memimpin dengan baik dan pengalamannya luas.
“Justeru, kalau tengok kepada ucapan Tok Mat Hasan tadi, beliau nak meneruskan agenda yang tergendala dan mengembalikan kegemilangan Negeri Sembilan yang pernah maju dan berjaya satu ketika dulu.
“Sebab itu beliau menggunakan tagline ‘Hobin Jang Hobin, Hobin Sampai Monang’. Jadi, ini merupakan mungkin kata-kata keramat sewaktu Negeri Sembilan menjuarai banyak piala satu ketika dulu,” katanya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai, manakala hari pengundian 1 Ogos, selepas DUN dibubarkan pada 5 Jun lepas setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
