Hasnal Rezua Santuni Keluarga Allahyarham Ahmad Shah, Sampaikan Takziah
RAWANG, 30 Julai – Prihatin dengan nasib yang menimpa keluarga Allahyarham Ahmad Shah Ahmad Ros, 26, yang maut ditikam di Korea Selatan, Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Hasnal Rezua Merican, hadir menziarahi keluarganya bagi menyampaikan ucapan takziah dan memberikan sokongan moral kepada waris.
Hasnal menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Allahyarham Ahmad Shah kepada kedua-dua ibu bapanya, Ahmad Ros dan Zulfah Fadliani.

Beliau turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta keluarga yang ditinggalkan dikurniakan kesabaran dan kekuatan menghadapi dugaan ini.
Beliau berkata, UMNO Bahagian Selayang sentiasa mengambil berat kebajikan masyarakat setempat, khususnya ketika berdepan ujian dan musibah, selain berharap segala urusan membawa pulang jenazah Allahyarham ke tanah air dipermudahkan.
Turut mengiringi beliau ialah Pengerusi KRT Blok 26, Amir, bersama beberapa ahli jawatankuasa yang hadir sebagai tanda kebersamaan dan keprihatinan terhadap keluarga Allahyarham.
Allahyarham Ahmad Shah, 26, dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai ditikam ketika cuba meleraikan pergaduhan melibatkan rakannya di Korea Selatan. Arwah yang bekerja dalam sektor perkilangan dan menetap di negara itu sejak 2019 disahkan meninggal dunia di hospital akibat kecederaan parah pada bahagian perut.
Menurut keluarga, jenazah Allahyarham dijangka tiba di tanah air pada petang Khamis untuk dikebumikan di Bandar Tasik Puteri, Rawang. – UMNO Online
