Fahami Kehendak, Suara Anak Muda – Mohd Asna
SEREMBAN, 30 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) dan penyandang bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin menegaskan adalah perlu untuk memahami kehendak dan mendengar suara anak muda bagi memastikan golongan itu terus mendapat perhatian sewajarnya.
Ujarnya, usaha mendekati golongan tersebut boleh dilakukan menerusi pelbagai kaedah termasuk aktiviti sukan yang menjadi antara medium terbaik untuk berinteraksi dan memahami keperluan mereka.

“Kalau kita nak mendampingi anak muda, salah satu kaedahnya adalah melalui sukan. Di Kampung Tarun ini, ada dewan cantik yang telah kita baik pulih dan hari ini anak muda sangat-sangat memberikan sokongan terhadap usaha ini.
“Nak layan anak muda ini tidak susah, kita kena tahu kehendak mereka,” katanya kepada UMNO Online.
Menurut beliau, antara perkara yang kini disuarakan anak muda adalah berkaitan isu subsidi minyak kenderaan, khususnya mengenai kuota yang ditetapkan kerajaan.
Katanya, walaupun ada pihak berpandangan kuota sedia ada mencukupi, keadaan itu mungkin berbeza bagi anak muda yang memerlukan pergerakan lebih tinggi, termasuk mereka yang melakukan pekerjaan sambilan dan tidak layak mendapat tambahan kuota.
“Mungkin orang kata kuota yang sekarang ini mencukupi, tetapi bukan kepada anak muda sebab mereka perlukan pergerakan yang banyak. Adakalanya mereka buat kerja sambilan.
“Jadi sekarang ini mereka telah menyuarakan isu ini kepada saya. Ada yang datang mengadu kepada saya dengan sedih dan menyuarakan bahawa apa yang dibuat oleh kerajaan pada hari ini. Kuota subsidi minyak ini adalah sesuatu yang tidak patut kepada anak muda,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Asna berkata, pertemuan secara langsung bersama anak muda turut memberikan gambaran positif terhadap penerimaan mereka terhadap BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini.
Beliau berkata, sokongan tersebut dilihat sebagai satu perkembangan positif yang perlu diberi perhatian menjelang hari pengundian.
“Saya melihat apabila saya bertemu dengan semua anak muda, belum ada seorang pun yang saya jumpa akan mengundi Pakatan Harapan (PH).
“Jadi saya melihat ini adalah satu signal gelombang Johor telah sampai ke Negeri Sembilan. Kalau nak tahu betul atau tidak anggapan saya ini, kita tunggu 1 Ogos nanti,” katanya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada semalam, manakala hari pengundian 1 Ogos, selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 5 Jun lepas setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
