BN Terbukti Berpengalaman… Ikrar Wanita NS Mampu Dilaksanakan – Bibi Sharliza

SEREMBAN, 30 Julai – Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Datuk Bibi Sharliza Mohd Khalid menegaskan bahawa Ikrar Wanita Negeri Sembilan yang dilancarkan pada hari ini mampu untuk dilaksanakan sekiranya Barisan Nasional (BN) diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ujarnya, keyakinan tersebut dizahirkan berdasarkan trek rekod pentadbiran BN yang pernah mentadbir sebelum ini.

“Saya yakin dan percaya kerana BN ini mempunyai pengalaman dan kita dah pernah menjadi kerajaan. Saya yakin, ketika kita menjadi kerajaan, kita ada Exco Wanita dan Keluarga. Mereka memainkan peranan yang sangat baik.

“Begitu juga BN, ketika ini Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Noraini Ahmad, dilantik sebagai Menteri. Itu kepercayaan kepada Wanita BN. Saya yakin, Insya-Allah BN tidak akan mensia-siakan wanita dalam manifestonya.

“Saya harap Kerajaan Negeri Sembilan memberikan peluang dalam segala bidang untuk kita bersama-sama menyokong manifesto yang dijanjikan dan akan melaksanakannya dengan baik selepas pilihan raya ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sejurus selepas Pelancaran Ikrar Wanita Negeri Sembilan di sini, sebentar tadi.

Jelasnya, Ikrar Wanita Negeri Sembilan yang dilancarkan pada hari ini merupakan manifestasi kepada Manifesto BN sebelum ini.

“Ikrar Wanita Negeri Sembilan ini merupakan lanjutan daripada manifesto BN yang telah dilancarkan oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan juga pimpinan BN Negeri Sembilan.

“Setelah kita lihat kepada teras-teras di dalam manifesto tersebut, maka kami Wanita Negeri Sembilan mengambil inisiatif untuk menghuraikan dan menggunakannya sebagai ikrar.

“Sekiranya BN menang dan kita dapat memerintah kerajaan, maka kita nak bersama-sama melaksanakan tanggungjawab dan manifesto BN kepada wanita-wanita di Negeri Sembilan,” katanya lagi.

Untuk rekod, Wanita UMNO Negeri Sembilan telah melancarkan Ikrar Wanita Negeri Sembilan yang menggariskan tujuh janji khusus bagi memperkukuhkan keselamatan, kesejahteraan, kedudukan ekonomi dan suara wanita dalam pentadbiran negeri.

Ikrar Wanita Negeri Sembilan ini mempunyai tiga teras utama iaitu Wanita Selamat, Wanita Sejahtera dan Wanita Berdaya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai, manakala hari pengundian 1 Ogos, selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 5 Jun lepas setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO