PRN: Jentera Jangan ‘Over Confident’, Terus Mantapkan Gerak Kerja
REMBAU, 29 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengingatkan para jentera Barisan Nasional (BN) untuk tidak ‘over confident’ dan bekerja sebaiknya sehingga tamat tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Ujarnya, langkah strategik yang dibina mungkin mampu membantu kemenangan calon-calon BN, tetapi gerak kerja perlu diperkemaskan lagi di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk mencapai matlamat tersebut.

“Saya hari ini berada di Chembong. Ini adalah DUN ke-15 yang saya pergi daripada 16 kawasan UMNO bertanding. Apa yang kita lakukan ialah bertemu dengan pengundi dan memberikan penjelasan isu-isu semasa di samping dapat beramah mesra bersama masyarakat setempat.
“Saya gembira kerana di semua tempat yang saya pergi, kelihatan jentera sangat mantap. Saya ingin mengingatkan jentera, kita jangan ‘over confident’ (terlebih yakin). Kita jangan terlebih yakin walaupun kita melakukan langkah strategik, dan dengan langkah strategik itu maka kita rasa kita boleh menang.
“Tetapi hari belum berakhir, kemungkinan mereka ada membuat kejutan-kejutan yang kita tidak fikir. Oleh itu, jentera hendaklah menjaga kawasan pusat daerah mengundi (PDM) masing-masing dengan rapi, membetulkan bendera-bendera kita agar lebih tinggi daripada bendera mereka, dan melakukan ziarah rumah ke rumah secara terusan sehinggalah habis waktu,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, segala gerak kerja mesti dimantapkan meskipun terdapat pelbagai respons positif mengenai persefahaman di antara BN dan Perikatan Nasional (PN).
“Oleh itu, jentera jangan ‘over confident’, walaupun laporan-laporan positif banyak kita terima kerana permuafakatan dan persefahaman dengan PN.
“Ini mesej utama saya, tolong sampaikan bahawa kita kena terus berusaha. Cari orang berpengaruh di kawasan masing-masing dan temui mereka. Temui seramai mungkin pengundi. Ada pengundi yang kita tidak pergi, pergilah dalam tempoh-tempoh yang berbaki ini,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa jasa BN dalam membangunkan negara tidak akan dapat disangkal oleh mana-mana pihak.
“Rakyat di Negeri Sembilan perlu memilih BN kerana mereka yang memberikan segala pembangunan kecil dan besar di negeri ini dan negara. Parti-parti lain tidak nampak lagi dari segi pembangunan besar, kecil-kecil mungkin adalah. Oleh itu, kita hanya meminta pengundi untuk mengingati jasa BN, maka kita pangkahlah BN.
“Saya juga ingin menegaskan bahawa Pakatan Harapan (PH) dikuasai oleh Dap. Data-data telah membuktikan dan saya juga sudah menceritakan setiap negeri berapa PH, berapa Dap dalam PH di setiap negeri itu. Semuanya mengatasi parti-parti PKR dan Amanah. Jadi tidak salah kalau saya kata bahawa PH dikuasai oleh Dap, dan orang Melayu tak suka Dap.
“Oleh itu, kalau kita membenarkan PH berkembang di Negeri Sembilan ini, bererti kita bersetuju Dap berkembang di sini hanya kerana disebabkan perpecahan. Itu sebab Melayu kena berpadu. Dengan berpadunya Melayu, maka UMNO/BN boleh memerintah dibantu oleh rakan-rakan yang lain,” katanya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada semalam, manakala hari pengundian 1 Ogos, selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 5 Jun lepas setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
